suria

Polis Patahkan Sindiket Dadah Didalangi Warga Afrika

Mohd Mokhtar (kiri) menunjukkan dadah yang disembunyikan di dalam kasut pada sidang media rampasan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman pada Jumaat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Polis berjaya mematahkan sindiket penyeludupan dadah yang didalangi warga Afrika dengan penahanan 14 orang dan merampas dadah bernilai RM5 juta.

Dadah yang dirampas merupakan jenis syabu 16 kilogram, heroin 250 gram, kokain 75 gram, ditemui di dalam kasut tumit tinggi, beg tangan dan bungkusan kurier selepas sembilan serbuan dilakukan secara berasingan di Lembah Klang dari 8 sehingga 30 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, serbuan pertama dilakukan pada 8 September lalu membabitkan rampasan dadah jenis syabu seberat 10.3 kilogram di dalam 26 pasang kasut tumit tinggi di sebuah gudang di Pelabuhan Klang.

"Susulan penemuan itu, kita menahan dua lelaki warga Afrika di Bandar Baru Bukit Puchong pada malam yang sama," tambahnya.

Mohd Mokhtar berkata, berikutan kejayaan dua serbuan tersebut, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik  dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman menjalankan tujuh serbuan di sekitar Lembah Klang antara pukul 1 petang dan 8 petang pada 30 September lalu.

"Kita menahan 12 warga Afrika, salah seorang daripada mereka adalah wanita. Mereka merupakan sebahagian daripada sindiket yang sama di mana dua lelaki ditahan sebelum itu.

"Kita merampas pelbagai jenis dadah yang disembunyikan dalam sembilang pasang kasut tumit tinggi, beg tangan dan bungkusan kurier," katanya.

Kesemua suspek berusia antara 27 dan 37 tahun berasal dari Nigeria, Republik Benin, Sierra Leone dan Uganda.

Mereka direman sehingga 7 Oktober di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati sekiranya disabitkan bersalah.

Mohd Mokhtar Mohd Shariff, STING

Artikel Sebelum

Artikel Lain