suria

JAS, Hospital Perlu Bincang Isu Kiraan IPU Jerebu - Dr Hilmi

GEORGETOWN: Jabatan Alam Sekitar dan pihak hospital perlu berbincang bagi memutuskan pengunaan teknologi kadar ukuran Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya berkata, bacaan yang diguna di Malaysia pada masa ini adalah lebih rendah dan membuatkan orang ramai mengambil mudah perkara berkaitan jerebu.

"Bacaan (IPU) kita rendah, bila rendah kita biar la...jadi kalau bacaan IPU tinggi (seperti di Singapura) kita masih rendah dan sebab itu kita tidak melakukan pencegahan (kesihatan) awal. Jadi saya harap kementerian dan pihak hospital ni berbincanglah supaya mungkin kita menjadikan bacaan sama dengan negara jiran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jantung Sedunia 2015 di Hospital Pulau Pinang di sini, Jumaat.

Bacaan IPU, parameter yang digunakan Malaysia ketika ini adalah berdasarkan habuk halus bersaiz kurang dari 10 mikrometer (PM10) berbanding bacaan 2.5 mikrometer (PM2.5), mengikut protokol antarabangsa.

Kiraan IPU berdasarkan PM2.5 akan memberi bacaan lebih tinggi berbanding IPU berdasarkan PM10.

Malaysia dilapor akan melaksanakan sistem IPU seperti Singapura yang menggunakan pengukuran pencemar 2.5 mikrometer (PM2.5) selewat-lewatnya pada 2017.

Dr Hilmi berkata, apabila berlaku jerebu ramai yang mendapat penyakit lelah dan kes-kes berkaitan pernafasan yang mendapatkan rawatan di klinik dan hospital juga meningkat sehingga 50 peratus.

"Jadi saya kira telah sampai masa pihak Kementerian (Sumber Asli dan) Alam Sekitar tengok tentang kadar teknologi ukuran (IPU) ini," katanya.

Terdahulu, Dr Hilmi berkata, Kementerian Kesihatan akan menambah lima lagi makmal "invasive cardiovascular" bagi menampung kes-kes berkaitan jantung yang semakin meningkat.

Beliau berkata, hospital yang mendapat tambahan makmal bernilai RM10 juta setiap satu ialah Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah Johor Baharu, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan serta masing-masing sebuah hospital di Sarawak dan Kedah.

Jabatan Alam Sekitar, IPU

Artikel Sebelum

Polis Bantuan Maut Digilis Lori

Artikel Berikut

Artikel Lain