suria

Jangan Cuba Halang Siasatan SPRM - Abu Kassim

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed memberi amaran kepada mana-mana pihak yang berniat menghalang  siasatan bahawa mereka tidak boleh lari daripada sistem keadilan.

"Kepada pihak-pihak yang mahu menghalang siasatan dan kes yang dibicarakan, dunia hari ini sudah berbeza.

"Anda tidak boleh lari daripada sistem keadilan. Jangan cuba menghalang, mengganggu dan mengekang proses siasatan dan perbicaraan," katanya.

Abu Kassim membuat kemunculan pertama pada majlis Perasmian Moot Court Kevin Morais di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, Khamis selepas berehat panjang.

Namun atas faktor kesihatan, beliau hanya memberi kata-kata aluan dan teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pesuruhjaya  (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau berkata, tindakan segelintir pihak yang cuba mengganggu siasatan hanya akan melengahkan siasatan atau pendakwaan tetapi tidak akan menghentikan kes yang sedang dibicarakan.

"Pada pengalaman saya selama lebih tiga dekad dalam bidang pencegahan rasuah, situasi yang dialami Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais adalah satu cubaan untuk menggagalkan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menghalang siasatan. Tindakan tersebut hanya akan melengahkan siasatan tetapi tidak akan menghentikan siasatan," katanya.

Abu Kassim turut mengingatkan pihak yang bersubahat dalam cubaan menggagalkan siasatan atau perbicaraan kes rasuah bahawa imbuhan yang mereka perolehi tidak akan menjamin ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan.

"Perbuatan keji yang dilakukan akan mengganggu kehidupan hingga akhir hayat. Jika perbuatan tersebut terbongkar, kamu akan dihina dan dikeji oleh masyarakat.

"Pada masa itu, barulah kita sedar apa yang kita dapat langsung tidak ada nilai berbanding maruah diri yang hilang," katanya.

Jelas beliau lagi, mana-mana pihak yang mahu mengelak siasatan mahupun pendakwaan hanya boleh berbuat demikian  untuk suatu tempoh tertentu sahaja.

"Satu bulan, dua bulan, satu tahun, tetapi tidak selama-lamanya. Ingat siasatan tidak akan berhenti hanya kerana ada pihak yang cuba menyembunyikan bukti atau melarikan saksi.

"Jika terbukti bersalah, mahkamah adalah tempat pengadilan kelak. Rakyat akan menilai dan menghukum anda. Tidak kira anda rakyat biasa, ahli perniagaan, tokoh korporat atau pemimpin politik," katanya.

Kevin Morais, SPRM, Moot Court

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain