suria

Jangan Aibkan Sesama Ahli Umno - Megat Najmuddin

Megat Najmuddin Megat Khas

PETALING JAYA: Tiada siapa sepatutnya membuat kesimpulan atau penghakiman awal berhubung kes yang disiasat Lembaga Disiplin kerana ia boleh mengaibkan ahli Umno dan menjejaskan imej parti, kata Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas.

Pengerusi Tribunal Siasatan Lembaga Disiplin Umno itu berkata demikian apabila ditanya mengenai pelbagai persepsi dan kenyataan berkaitan kes melibatkan Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, ketika ini siasatan terhadap bekas ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu masih diperingkat awal.

Malahan, katanya, pihak yang menyiasat kes berkenaan juga tidak diberi tempoh tertentu untuk menyiapkan kertas siasatan kerana pihaknya mahu ia dilaksanakan dengan teliti.

"Kita perlukan bukti sama ada kehadirannya pada majlis pembangkang itu ada mengeluarkan percakapan yang memburukkan parti, selain perilakunya ketika itu.

"Jangan kita buat kesimpulan terlalu awal atau seolah-olah bersikap angkuh dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengaibkan seseorang kerana ini bukan imej Umno, biar siasatan lengkap dulu," katanya kepada mStar Online, Khamis.

Megat Najmuddin berkata, era politik kini sudah berubah dan Umno perlu bijak menghadapi persepsi umum kerana ia suatu cabaran untuk memastikan parti terus kukuh.

"Reputasi ahli Umno yang disiasat perlu dijaga terutama imej parti yang bukan sahaja bersifat adil, malahan nampak adil.

"Jangan nanti orang kata kita syok sendiri tetapi umum pandang kita tidak adil," katanya yang menegaskan pentingnya untuk menguruskan persepsi ramai terhadap Umno.

Megat Najmuddin menambah, sebagai badan bebas dan berkecuali, pihak Lembaga Disiplin Umno tiada kepentingan politik ketika melaksanakan tugas.

"Keutamaan dan kepentingan Lembaga Disiplin adalah Umno sahaja, jadi kita tidak akan burukkan seseorang yang disiasat," katanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara peribadi berpendapat sebagai ahli Umno, Saifuddin  sepatutnya mempertimbangkan untuk tidak menghadiri majlis pelancaran Pakatan Harapan.

Selain itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menyarankan Saifuddin supaya menyertai pembangkang jika menyokong pakatan itu.

Kehadiran Saifuddin pada sidang meja bulat pembangkang yang berlangsung pada 22 September mencetuskan kritikan di kalangan pemimpin Umno.

Beliau bagaimanapun menafikan terbabit dalam gabungan pembangkang itu dan memaklumkan kehadirannya atas kapasiti sebagai pengerusi Akademi Belia.


Artikel Lain