suria

Letupan Bangkok: Malaysia Buru Tiga Suspek

KUALA LUMPUR: Polis masih memburu tiga lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kejadian pengeboman di Kuil Erawan, Bangkok, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak berkuasa Thailand menyerahkan tiga nama kepada rakan sejawat di Malaysia.

"Kami telah menemui pihak berkuasa Thai dan perbincangan sudah selesai. Ada tiga nama yang diserahkan kepada kita dan individu terlibat sedang diburu.

"Bagaimanapun, kita perlu tahu data biometrik dan bukti DNA untuk memudahkan proses mengesan dan menahan pihak terbabit.

"Mungkin mereka terbabit secara langsung dengan pengebom atau mungkin setakat pemandu teksi yang membawa pihak yang terbabit dalam kejadian itu," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Menteri Asean Berkaitan Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC), Khamis.

Setakat ini, lapan individu ditahan pihak berkuasa Malaysia berkaitan kejadian pengeboman pada 17 Ogos lalu itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain