suria

Pakatan Harapan Bakal Ulangi Kegagalan Pakatan Rakyat - Ku Nan

Tengku Adnan dan isterinya Datin Seri Anggraini Sentiyaki bergotong-royong bersama penduduk Putrajaya melapah daging korban sempena sambutan Aidiladha dan kenduri rakyat Parlimen Putrajaya di Presint 9, Khamis. Sebanyak 109 ekor lembu di sumbangkan Tengku Adnan untuk diagihkan kepada surau dan komuniti di sekitar Putrajaya sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan yang baru ditubuhkan membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara yang dalam proses pendaftaran, akan mengulangi kegagalan Pakatan Rakyat yang ditubuhkan sebelum ini, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata tanpa PAS, pakatan itu hanya mahu meniru kepimpinan BN yang merupakan satu-satunya parti pelbagai kaum dalam negara.

"Tidak ada pakatan. Mereka cuba meniru BN. Seperti yang mereka lakukan sebelum ini (Pakatan Rakyat), anda nampak apa yang berlaku sekarang?

"Dengan pakatan baharu ini pun mereka akan 'bungkus'," katanya apabila diminta mengulas penubuhan Pakatan Harapan pada Selasa lalu yang akan berfungsi sepenuhnya sebagai sebuah pakatan politik.

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, diiringi isteri beliau Datin Seri Anggeraini Sentiyaki, menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidiladha di Depoh Perbadanan Putrajaya di sini, Khamis.

Lebih 100 ekor lembu dikorbankan pada majlis anjuran Umno Parlimen Putrajaya dan daging diagihkan di surau serta komuniti sekitar pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno berkata, tindakan Pengerusi Akademi Belia Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota Umno menghadiri pelancaran penubuhan Pakatan Harapan atas sifat peribadi mencetuskan persepsi negatif dan mencemarkan imej Umno.

Beliau berkata walaupun Saifuddin yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi hadir atas sifat peribadi namun tindakan itu tidak wajar kerana ia menjejaskan imej Umno, parti tonggak kepimpinan negara dan mengeruhkan keadaan.

"Hari ini, kita berdepan dengan masalah persepsi. Kita perlu pastikan apa yang kita lakukan tidak mengeruhkan keadaan dan tidak memberi masalah kepada parti serta kerajaan. Oleh itu, kita perlu menentang dan membetulkan tanggapan ini dalam perspektif yang sewajarnya.

"Itulah sebabnya saya tidak menghadiri perhimpunan baju merah (16 September) sungguhpun banyak pihak yang marah dengan saya. Sebagai setiausaha agung BN, saya perlu sensitif. Saya tidak boleh menghadiri acara yang boleh mencemarkan imej parti atau membawa tanggapan negatif dan mewujudkan kekeliruan.

"Sebagai anggota Umno, anda perlu tahu etika dalam Umno. Anda tidak boleh melakukan perkara yang menjejaskan parti," katanya.

Tengku Adnan berkata Umno telah memberi surat tunjuk sebab kepada Saifuddin, yang juga bekas Anggota Parlimen Temerloh, dan beliau mempunyai 14 hari untuk memberi maklum balas.

Apabila ditanya sama ada Saifuddin akan dipecat daripada parti, Tengku Adnan berkata: "Saya tidak tahu. Lembaga Displin akan memutuskan tindakan selanjutnya."-- Bernama




Artikel Sebelum

Artikel Lain