suria

UK Kekal Kedudukan Teratas Pendidikan Berkualiti Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Ibu bapa di Malaysia menganggap United Kingdom menawarkan pendidikan berkualiti tertinggi bagi anak mereka, menurut laporan HSBC Value of Education yang dikeluarkan, Selasa.

Australia berada di kedudukan kedua bagi rakyat Malaysia, namun begitu masih banyak yang memilih untuk memberi pendidikan kepada anak mereka di dalam negara.

Laporan itu menyebut Amerika Syarikat dianggap menawarkan pendidikan berkualiti terbaik di seluruh dunia, bagaimanapun kos keseluruhan untuk memperoleh ijazah di sana sebagai pelajar antarabangsa boleh melebihi AS$165,000 (RM700,000), menjadikan negara itu sebagai destinasi paling mahal di dunia.

Ketua Perbankan Runcit dan Pengurusan Kekayaan HSBC Bank Malaysia Berhad, Lim Eng Seong berkata, kajian itu juga menunjukkan jurang utama antara jangkaan pembiayaan dan realiti ibu bapa apabila banyak keluarga tidak bersedia untuk menghadapi pelaburan penting ini.

"Penemuan paling penting daripada kajian kami ialah masyarakat masih lemah dalam membuat persediaan bagi masa depan. Sebahagian besar daripada mereka berfikir bahawa mereka boleh menabung dan memperuntukkan wang yang cukup untuk membiayai kos pendidikan anak mereka.

"Hakikatnya, 33 peratus daripada ibu bapa di Malaysia yang mempunyai anak pra sekolah rendah berkata mereka perlu meminjam wang untuk membiayai kos pendidikan di universiti pada masa depan, manakala 51 peratus ibu bapa yang mempunyai anak di universiti membiayai atau merancang pembiayaan melalui pinjaman.

Terdapat jurang antara harapan dan realiti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Selasa. Eng Seong berkata, satu perempat daripada ibu bapa yang mempunyai anak di universiti berkata mereka telahpun menanggung hutang, atau menjangka akan berhutang, untuk membiayai kos pendidikan anak mereka.

"Jika anda meminjam wang, anda perlu membayar faedah serta modal, justeru adalah mahal untuk meminjam berbanding dengan menyimpan.

"Malang sekali apabila menanggung beban kewangan tambahan, tetapi kesan paling teruk daripada perancangan yang kurang baik adalah jika orang muda yang berbakat langsung tidak dapat masuk universiti. Itu berita buruk bagi mereka dan masyarakat secara keseluruhan," katanya.-- Bernama



UK, HSBC, pendidikan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain