suria

Arnold Schwarzenegger Bincang Transformasi Di KL

KUALA LUMPUR: Bintang utama Terminator, Arnold Schwarzenegger, yang mengabadikan ungkapan penarik "I'll be back" dalam siri Blockbuster aksi sains fiksyen, akan membincangkan lebih banyak mengenai transformasi di Kuala Lumpur pada bulan depan.

Schwarzenegger, yang juga bekas Gabenor California, akan menyertai penceramah lain termasuk bekas Juara Olimpik Carl Lewis di Forum Transformasi Global 2015 yang akan diadakan di sini pada 21-23 Oktober.

Pada forum yang julung kali diadakan itu, anjuran BFR Institute Sdn Bhd (BFR-I) dengan kerjasama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), para pemimpin unit penyampaian dan pakar dalam bidang berkaitan akan berkongsi pandangan mengenai inisiatif transformasi pengoperasian dan program.

Penceramah lain termasuk Sir Michael Barber, bekas ketua Unit Penyampaian Perdana Menteri Tony Blair di United Kingdom; Omari Issa, Ketua Pegawai Eksekutif Biro Penyampaian Presiden Tanzania; dan Idris Jala, Ketua Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu) di Jabatan Perdana Menteri.

Mereka akan membincangkan mengenai kejayaan dalam mewujudkan impak sosioekonomi yang positif, dan cabaran seperti pelaksanaan inisiatif pelbagai pihak berkepentingan dan keutamaan.

Dalam kenyataan hari ini, Idris berkata forum itu tepat pada masanya berikutan dunia memerlukan sebuah forum global membabitkan bekas dan ketua negara ketika ini, ketua unit penyampaian, pegawai tinggi kerajaan, menteri dan pemimpin industri untuk berjumpa dan bertukar-tukar pengalaman mengenai transformasi.

"Terdapat banyak pandangan dari pelbagai negara - baik dan buruk - yang boleh dikongsi dan dipelajari," kata Idris, yang juga Pengarah Urusan BFR-I. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar turut dijangka menghadiri forum tersebut bersama bekas Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong, bekas Perdana Menteri  New Zealand dan Pentadbir UNDP Helen Clark, bekas Perdana Menteri dan Menteri Luar Australia Kevin Rudd, Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran London Sukan Olimpik 2012 Lord Sebastian Coe dan pengasas bersama Starbucks Zev-Siegl. 

Selain itu, Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Bhd Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain