suria

Penyelia Wanita Didakwa Ubah Wang Haram

PETALING JAYA: Seorang penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM19,750, tahun lepas.

Siew Ooi Nguk, 55, didakwa melakukan kesalahan itu dengan menerima wang ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya berjumlah RM19,750 daripada seorang wanita, Maimunah Dollah, 43, yang dipercayai daripada aktiviti haram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Cawangan Subang Jaya, No. 40  and  42, Jalan SS 15/4D, Subang Jaya, di sini, pada 24 Julai 2014.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Shamsudin @ Baharum menawarkan wang jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin.

Bagimanpun, tertuduh, yang diwakili peguam Syed Muhammad Adeeb Barakbah, memohon jaminan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan dikurangkan dengan alasan tertuduh belum berkahwin dan hanya berpendapatan RM2,000 sebulan.

"Tertuduh juga mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk darah tinggi, asma dan diabetes, mohon jumlah jaminan yang berpatutan kerana jaminan bukan untuk menghukum sebaliknya untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah," hujahnya.

Hakim Manira Mohd Nor kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

-- Bernama
Siew Ooi Nguk, CIMB Bank Berhad

Artikel Sebelum

PasMa Sokong Pakatan Harapan

Artikel Berikut

Artikel Lain