suria

Kes Pengarah Syarikat Elak Bayar Cukai Selesai Di Luar Mahkamah

GEORGE TOWN: Kes saman yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap seorang pengarah syarikat yang didakwa mengelak membayar cukai pendapatan berjumlah RM459,475.50 hari ini selesai di luar mahkamah.

Majistret Catherine Nicholas merekodkan penghakiman persetujuan selepas diberitahu peguam kanan LHDN, Norzilah Abd Hamid, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan tuntutan saman berdasarkan terma yang dipersetujui.

Norzilah berkata kedua-dua pihak bersetuju bahawa Orang Kena Saman (OKS) Kun Beng Teik, 52, bersetuju membayar cukai RM1.3 juta secara empat kali ansuran bermula September ini hingga 15 Dis depan.

Beng Teik bagaimanapun tidak hadir di mahkamah hari ini dan dia diwakili peguam Norazira Ab. Rahman.

Norzilah kemudiannya memohon mahkamah menetapkan satu tarikh untuk semakan pembayaran dan mahkamah menetapkan 26 November ini.

Pada 14 Mei lepas, Beng Teik yang merupakan pengarah sebuah syarikat getah skrap mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan meminta dibicarakan.

Dia didakwa secara sengaja kurang melaporkan hasil pendapatan syarikatnya berjumlah RM2,070,591.55 dengan niat mengelak daripada membayar cukai membabitkan taksiran cukai pendapatan bagi 2007 hingga 2012.

Beng Teik didakwa tidak melaporkan jumlah pendapatan itu yang boleh dikenakan cukai sebanyak RM459,475.50.

Dia didakwa mengikut Seksyen 114(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntuk hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun dan penalti khas sebanyak tiga kali ganda jumlah cukai terlibat, jika sabit kesalahan.-- Bernama



LHDN, Kun Beng Teik

Artikel Lain