suria

Petugas IPK Sarawak Suspek Kes Rompak Kedai Emas

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki berumur 30 tahun pagi Selasa yang disyaki terbabit dalam rompakan di sebuah kedai emas di Jalan Carpenter di sini tiga hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar M.M Sree Shunmugam berkata, siasatan mendapati suspek bekerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Jalan Badaruddin di sini.

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang Sabtu lepas, suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh merempuh masuk kedai emas itu lalu melarikan sejumlah barang kemas bernilai kira-kira RM20,000 selepas memecahkan kaca ruang pameran kedai.

Katanya suspek yang cedera di tangan kanannya semasa melakukan rompakan, kemudian melarikan diri dengan membonceng motosikal rakannya yang menunggu di luar kedai.

"Kira-kira pukul 6 pagi ini, sepasukan polis dari unit D9 Jabatan Siasatan Jenayah diketuai Deputi Superitendan Sarifuddin Mustaffa menahan suspek di kediamannya di Petrajaya dan menemui semua barang kemas tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Dev Kumar berkata polis turut menemui sehelai baju yang mempunyai kesan darah, dipercayai dipakai suspek semasa melakukan rompakan.

Beliau berkata polis akan menghantar unit penyelam ke sebuah tasik di Petrajaya di sini untuk mencari sepana yang dipercayai digunakan dalam rompakan itu.

"Kami menganggap kes ini berprofil tinggi kerana rompakan kedai emas jarang-jarang sekali berlaku di Sarawak," katanya.-- Bernam

IPK Sarawak, kedai emas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jerebu Kembali Landa Sarawak

Artikel Lain