suria

Syarat Pemulangan Pampasan Bekas Pegawai MB Selangor Diteliti

- Gambar hiasan
SHAH ALAM: Menteri Besar Incorporated (MBI) dan lapan bekas kakitangannya sedang meneliti beberapa syarat berhubung isu pemulangan pampasan berjumlah RM2.6 juta yang kini cuba diselesaikan menerusi proses mediasi.

Sehubungan itu, proses mediasi yang dijalankan di Pusat Mediasi Mahkamah Shah Alam pada Isnin ditangguhkan dan akan disambung semula pada 23 Oktober ini bagi membolehkan kedua-dua pihak meneliti terlebih dulu syarat yang dikemukakan mereka.

Peguam Edmund Bon yang mewakili tujuh daripada lapan bekas kakitangan MBI itu berkata, kedua-dua pihak sudah mengemukakan syarat berhubung tuntutan itu.

Katanya, bagaimanapun syarat yang dikemukakan itu tidak boleh didedah dan dibincangkan kepada umum.

"Hari ini kedua-dua pihak sudah kemukakan syarat masing-masing untuk membolehkan penelitian dibuat sebelum ia dipersetujui.

"Proses mediasi dijalankan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Wan Azira Wan Khairilanwar," kata Edmund ketika ditemui pemberita, di sini.

Pada 28 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di Shah Alam Hadhariah Syed Ismail mencadangkan kedua-dua pihak menyelesaikan isu pemulangan pampasan berkenaan menerusi proses mediasi.

Lapan bekas pegawai yang terlibat berhubung isu pampasan itu ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI Faekah Hussin, Rohani Talib, Arfa'eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd Talib, Rahimah Kamarudin, Dr Sulaiman Masri, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.

Pada 16 Januari lepas, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mengarahkan kesemua lapan bekas pegawai itu memulangkan semula wang pampasan yang diterima semasa pentadbiran bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mendakwa terdapat beberapa pelanggaran tatacara dan peraturan kewangan.

Bekas pegawai berkenaan dilaporkan menerima pampasan antara RM114,870 hingga RM699,000 seorang.

Pada 11 Mei, MBI memfailkan saman terhadap kelapan-lapan bekas pegawai itu  kerana didakwa masih gagal memulangkan semula pampasan berkenaan.
pampasan MBI, Edmund Bon

Artikel Sebelum

Artikel Lain