suria

Merusuh Di Wangsa Walk: Dua Remaja Lelaki Didenda

KUALA LUMPUR: Dua remaja lelaki masing-masing didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret pada Isnin selepas mengaku bersalah merusuh menggunakan beberapa peralatan termasuk kayu dan besi dalam pergaduhan di pusat beli-belah Wangsa Walk di sini, pada Julai lepas.

Majistret Saifulakmal Said turut memerintahkan remaja berusia 15 tahun 11 bulan dan 14 tahun sembilan bulan itu dipenjara satu minggu jika mereka gagal membayar denda itu.

Saifulakmal menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti laporan akhlak yang dibacakan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam prosiding tertutup hari ini yang turut dihadiri anggota keluarga tertuduh.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan iaitu kedua-dua remaja terbabit perlu melapor diri sebulan sekali di JKM Gombak dan menghadiri bengkel interaktif anjuran jabatan itu, selain tidak dibenarkan keluar rumah pada waktu malam tanpa kebenaran bermula 8 malam hingga 6 pagi.


Sementara itu, mahkamah juga menetapkan 9 Oktober ini untuk sebutan kes seorang lagi rakan mereka berumur 15 tahun lima bulan, yang menghadapi tuduhan sama, berikutan laporan akhlak tertuduh masih belum disiapkan.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga remaja itu didakwa bersama-sama 16 orang lagi yang masih bebas merusuh menggunakan kayu, 'forklock', papan tanda kuning, besi dan topi keledar di aras bawah pusat beli-belah Wangsa Walk di Wangsa Maju di sini pada 6.45 petang, 20 Julai lepas.

Di mahkamah sama, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun 11 bulan didenda RM800 selepas mengaku bersalah mencederakan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dalam pergaduhan di pusat beli-belah yang sama, pada tarikh sama.

Saifulakmal turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua minggu jika gagal membayar denda itu.

Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan iaitu ibu kepada tertuduh perlu mengawasi remaja itu supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah dan turut memerintahkan tertuduh melapor diri di JKM serta menjalani program khidmat masyarakat selama 50 jam dalam tempoh 12 bulan.

Tertuduh didakwa mencederakan remaja 16 tahun itu di dalam pejabat sekuriti pusat beli-belah berkenaan pada pukul 6.50 petang, hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak.
merusuh Wangsa Walk, JKM

Artikel Sebelum

Artikel Lain