suria

Silat: Kenyataan A.Samad Said Menghina - Pesaka

Datuk Megat Zulkarnain Omardin
KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dianggap 'menghina' orang Melayu, khususnya pengamal seni silat apabila mendakwa seni pertahanan diri itu sebagai tidak lagi praktikal untuk zaman ini, menurut Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka).

Setiausaha Agung Pesaka Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata kenyataan Samad bahawa silat hanyalah khazanah untuk dipertunjukkan dan bukan untuk mempertahankan diri juga satu kenyataan yang kurang matang daripada seorang sasterawan yang menjangkau usia 80 tahun.

"Apabila beliau membuat kenyataan begitu, ia menghina ribuan ahli yang sedang belajar silat. Saya berani jamin, dalam (kebanyakan) keluarga orang Melayu, pasti ada sekurang-kurangnya seorang ahli yang belajar silat," katanya.

Bercakap pada sidang media di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin di sini, Isnin, Zulkarnain berkata walaupun ada senjata moden, ia tidak boleh dibawa  ke semua tempat untuk menjaga keselamatan diri.

"Silat adalah pakaian orang Melayu, apabila beliau (Samad) menghinanya, secara tidak langsung membuka ruang untuk sekali lagi orang Melayu terbangkit dan rasa tercabar," katanya, yang menambah ilmu silat bukan dipelajari semata-mata untuk berlawan tetapi merupakan satu cabang pembinaan karakter.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada program Himpunan Silat Pesaka Merdeka Jumaat lepas mengisytiharkan silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara.

Samad, yang merupakan anggota DAP, dilaporkan berkata silat sudah menjadi khazanah untuk dipertunjukkan dan tidak sesuai untuk mempertahankan diri lagi pada satu forum Sabtu lepas.

Artikel Lain