suria

Kemangkatan Raja Puan Muda: Kedah Berkabung Tujuh Hari

ALOR SETAR: Kedah akan berkabung selama tujuh hari bermula Isnin sehingga 27 September berikutan kemangkatan Raja Puan Muda Tunku Hajah Raudzah binti Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, 86, pada 10.15 pagi Isnin.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang membuat pengisytiharan kemangkatan itu di Wisma Darulaman hari ini berkata, Raja Puan Muda Kedah mangkat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat gering.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan takziah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Malik ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Muda Kedah serta seluruh Kerabat DiRaja," katanya pada sidang media di sini.

Beliau berkata, jenazah Tunku Hajah Raudzah akan disembahyangkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit pada 3 petang ini dan disemayamkan untuk penghormatan terakhir di tempat yang sama mulai 4 petang hingga 5 petang.

Jenazah Raja Puan Muda Kedah itu kemudiannya akan dimakamkan di Makam DiRaja Langgar pada jam 6 petang. 


Menteri Besar berkata, jenazah Tunku Hajah Raudzah akan dibawa ke Makam DiRaja melalui jalan-jalan Lebuhraya Darulaman, Lebuhraya Sultanah Bahiyah, dan  Jalan Langgar.

Bendera Negeri, Persekutuan dan lain-lain, katanya, hendaklah dikibarkan "Separuh Tiang" selama tiga hari bermula hari ini, manakala sepanjang tempoh perkabungan semua bentuk hiburan keramaian dan perayaan dibatalkan.

Beliau juga meminta semua supaya berdoa ke hadrat Ilahi agar roh Raja Puan Muda Kedah ditempatkan bersama-sama pada Shuhadah dan Solihin.

Artikel Lain