suria

Sanggup Berkerusi Roda Demi Perpaduan Melayu

KUALA LUMPUR: "Tak boleh berdiri lama, duduk pun kena bersandar, tetapi saya gagahkan diri juga untuk sertai perhimpunan ini," kata Abdul Rashid Mohd Fadzil, salah seorang peserta perhimpunan 'baju merah' yang mencuri tumpuan di Padang Merbok di sini, Rabu.

Abdul Rashid, 73, yang merupakan Ketua Penerangan Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Gombak berkata, beliau mengalami masalah semput sejak setahun lalu.

Bagaimanapun beliau yang juga Pengerusi Tetap Umno Cawangan Titiwangsa sebenarnya masih boleh berjalan namun keadaan kesihatan yang kurang baik memerlukan penggunaan kerusi roda untuk menyertai perhimpunan 'baju merah'.

Abdul Rashid yang berpakaian jalur gemilang sebagai tanda semangatnya menyambut Hari Malaysia pada 16 September berkata, kehadirannya pada perhimpunan itu bagi melihat perpaduan orang Melayu.

"Semangat perpaduan begitu menebal dalam diri saya. Saya ke sini kerana mahu memberi sokongan kepada perpaduan orang Melayu.

"Saya biasanya hanya bertongkat tetapi mahu berada di sini lama jadi kena pakai kerusi roda. Saya mahu melihat suasana perpaduan di sini pada Hari Malaysia," katanya yang berada di Padang Merbok sejak pukul 11 pagi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan itu mengharapkan agar perhimpunan pada Rabu diadakan secara aman.

Baju Merah, Padang Merbok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain