suria

Tabung Haji Buat Pengecaman Jenazah Di Rumah Mayat Muaissem

Jamil Khir Baharom ketika sidang media mengenai kejadian kren tumbang di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada Isnin, sebelum berlepas ke Jeddah, Arab Saudi. Foto: Bernama

JEDDAH: Tabung Haji (TH) kini menumpukan kepada proses pengecaman jenazah di rumah mayat Muaissem di Mina, dalam usaha mengesan dua lagi jemaah haji Malaysia yang dilaporkan hilang dalam tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lepas. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tumpuan itu berikutan usaha mencari mereka di tempat-tempat lain seperti di sekitar Masjidil Haram, hotel dan hospital di sekitar Makkah, tidak berhasil.  

"Proses pengecaman jenazah di rumah mayat Muaissem itu dijalankan dari segala sudut termasuk penggunaan DNA dan biometrik (berikutan terdapat jenazah yang anggotanya tidak lengkap)," katanya kepada pemberita Malaysia di sini, Isnin. 

Beliau bersama Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di Arab Saudi dalam tugasannya untuk memastikan segala usaha mencari dua lagi jemaah yang masih hilang itu berjalan lancar selain untuk memberikan sokongan moral kepada jemaah haji lain. 

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Zainol Rahim Zainuddin. 

Dua jemaah haji yang masih hilang dalam kejadian yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu ialah Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah dan Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah.  

Jamil Khir berkata selain itu, TH juga akan menumpukan usaha untuk mengebumikan lima jenazah jemaah Malaysia yang telah disahkan terkorban dalam kejadian itu. 

Proses pengebumian itu bagaimanapun memerlukan beberapa prosedur tertentu.

"Kerajaan Arab Saudi telah memberi kerjasama terbaik tetapi mereka juga tidak terlepas daripada mematuhi prosedur tertentu sebelum urusan pengebumian jenazah itu dapat dilakukan," katanya. 

Sebelum ini, lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi itu ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku; dan Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor.-Bernama

Artikel Lain