suria

Kren Tumbang: Enam Jemaah Malaysia Hilang

Suasana tenang selepas solat Asar bertukar sebaik kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat.

PETALING JAYA: Enam jemaah rakyat Malaysia hilang selepas tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Makkah petang Jumaat apabila pasukan petugas Tabung Haji (TH) gagal mengesan mereka sehingga awal pagi Sabtu.

Selain enam yang hilang itu, seramai 10 lagi jemaah Malaysia disahkan cedera akibat kemalangan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, setakat pukul 4 pagi waktu Arab Saudi, pemeriksaan  mendapati jemaah yang terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita itu tiada di bilik penginapan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan jemaah terlibat menghabiskan masa yang lama beriktikaf di Masjidil Haram dan lewat pulang ke bilik mereka.

"Identiti jemaah yang hilang sudah dikenal pasti dan buat masa ini, usaha mencari masih diteruskan dengan kerjasama muasasah Asia Tenggara.

"Belum ada maklumat terkini yang diterima melibatkan enam jemaah Malaysia ini dan sehingga itu, operasi mencari akan dijalankan sehingga mereka ditemui," katanya pada sidang media tergempar susulan trageti itu.

Kejadian yang berlaku selepas solat Asar pada pukul 5 petang (waktu Arab Saudi) susulan ribut pasir dan hujan lebat itu, sebuah kren tumbang dan menghempap kawasan saie di tingkat empat.

Tragedi itu mengakibatkan 107 jemaah terkorban, manakala 238 yang lain cedera.

Kata Jamil Khir lagi, pasukan petugas TH juga meninjau di keseluruhan kawasan Masjidil Haram dan hospital bagi mengesan jemaah Malaysia.

"Kita masih lagi memantau situasi di sini untuk mengetahui jumlah sebenar jemaah Malaysia yang terbabit dalam tragedi itu," katanya yang menasihatkan rakyat Malaysia supaya mendapatkan maklumat sahih berhubung kejadian itu.

Beliau juga memberi jaminan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terkini berkaitan jemaah kepada keluarga mereka.

Waris atau keluarga jemaah haji di tanah air boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji di Damansara, Kuala Lumpur di talian 03-62071919 untuk sebarang maklumat lanjut.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain