suria

Jemaah Malaysia Kongsi Detik Pilu Tragedi Di Masjidil Haram

Mayat jemaah bergelimpangan di kawasan runtuhan kren di Masjidil Haram pada petang Jumaat.

MAKKAH: Kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, yang menyebabkan lebih 100 orang terkorban dan beratus lagi cedera pada Jumaat petang, sungguh memilukan ketika hanya tinggal 11 hari lagi untuk jemaah haji berwukuf di Arafah yang dijadualkan 22 September ini.

Setakat ini, Tabung Haji mengesahkan tiada jemaah haji Malaysia terkorban, hanya enam jemaah Malaysia dilaporkan cedera.

Beberapa jemaah haji Malaysia yang berada di Masjidil Haram ketika kejadian itu berkata mereka amat terkejut dan panik dalam kejadian yang sungguh memilukan seluruh umat Islam itu.

Menceritakan kejadian itu, Mahzan Misni, 49, berkata ketika kejadian, beliau sedang menunaikan solat sunat di Masjidil Haram.

Mahzan Misni

"Tiba-tiba terdengar dentuman yang sangat kuat, saya ingatkan petir, selepas dentuman itu, suasana jadi kelam kabut, bahagian saie di tingkat satu menjadi gelap (dengan debu selepas kren tumbang), sejurus selepas itu saya lihat mayat bergelimpangan, terdapat jemaah haji yang berlumuran darah, darah mangsa yang maut terpercik mengenai pakaian mereka, " katanya.

Beliau bersyukur selamat dalam kejadian itu yang hanya beberapa meter saja dari tempat kren tumbang itu.

"Selepas pulang dari masjid, semua rakan sebilik ada di penginapan hotel, Alhamdulillah, sepanjang jalan pulang, saya berdoa agar semua rakan sebilik saya selamat," katanya yang menginap bersama enam jemaah lain di Maktab 88, bangunan Abaj Al-Jandriah yang terletak 750 meter dari Masjidil Haram.

Pihak Tabung Haji (TH) turut membuat pemeriksaan dari bilik ke bilik di semua maktab penginapan jemaah Malaysia di Tanah Suci.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam sidang akhbar jam 8.45 malam (waktu Arab Saudi semalam; 1.45am pagi tadi waktu Malaysia) berkata pihaknya membuat pemeriksaan bilik ke bilik bagi menyemak senarai jemaah Malaysia di Tanah Suci bermula selepas waktu isyak.

Kebanyakan jemaah haji Malaysia menunaikan solat Isyak di Masjidil Haram sebelum pulang ke penginapan masing-masing selepas berada di masjid berkenaan sejak waktu Asar atau Zuhur.

Mohd Razak Jaid, 59, jemaah haji Malaysia berasal dari Kepong berkata ketika kejadian beliau berada di tingkat dua, di kawasan saie berkenaan turut bertindak membantu jemaah haji lain yang nyata terpinga-pinga dengan kejadian itu.


Mohd Razak Jaid

"Saya sempat menarik seorang jemaah haji dari Thailand ketika berlaku runtuhan batu-bata selepas kren berkenaan menghempap kawasan saie itu, keadaan menjadi kelam kabut, jemaah dari dalam kawasan saie, mahu berlari ke arah luar, manakala jemaah haji di kawasan luar, mahu masuk ke dalam," katanya.

Bekas pesara polis itu berkata dia turut melihat mayat-mayat yang bergelimpangan itu: "Saya tengok jemaah yang mati, melihat tanda atau tag yang mereka pakai, dalam keadaan kelam kabut itu, saya tak nampak mayat yang memakai tag atau pengenalan sebagai jemaah Malaysia.

"Keadaan semakin tidak terkawal apabila jemaah mula berasak-asak mahu keluar dari kawasan kejadian, sungguh memilukan melihat mayat bergelimpangan," katanya.

Seorang lagi jemaah haji, Zaiton Isa, 57, berkata ketika kejadian, dia dan rakan sebiliknya Zurina Zakaria, 49, yang menetap di Abraj Al-Janadriah, sedang berada di tingkat dua di kawasan saie berkenaan.

"Tiba-tiba bunyi dentuman kuat, saya ingatkan bangunan runtuh, jemaah haji mula bersesak-sesak mahu keluar dari kawasan itu," katanya yang masih terkejut dengan kejadian yang tak mampu digambarkannya itu.

Zaiton berkata dia bersesak-sesak untuk keluar dari kawasan berkenaan, dan bersyukur apabila tiba di luar masjid, rakan sebiliknya Zurina, berada di belakangnya.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, setakat ini sekurang-kurangnya 107 orang meninggal dunia manakala 238 lagi cedera.

Sementara itu, Syed Saleh yang juga Pengurus Besar Kanan Tabung Haji (TH) berkata selain membuat pemeriksaan bilik ke bilik, pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan di hospital-hospital Arab Saudi, sekiranya terdapat jemaah haji yang telah dibawa ke sana selepas kejadian itu.

Kejadian kren tumbang itu dilaporkan berlaku semasa hujan dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran.-- Bernama





 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain