suria

Mesyuarat MT Umno Hari Ini Jadi Tumpuan

Muhyiddin Yassin (kiri) dan Shafie Apdal.

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Rabu akan menjadi tumpuan bukan salah di kalangan anggota dan aktivis parti tetapi juga rakyat Malaysia secara umum.

Ini kerana buat pertama kali mesyuarat peringkat tertinggi parti itu diadakan selepas timbalan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal digugurkan dari Kabinet pada Julai lalu.

Muhyiddin yang digugurkan daripada jawatan timbalan perdana menteri, dan Apdal daripada jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah selepas rombakan Kabinet diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, masing-masing telah mengesahkan bahawa mereka akan menghadiri mesyuarat tersebut.

Namun apa yang menjadikan mesyuarat yang dijangka bermula pada pukul 3.30 petang di Menara Dato' Onn lebih menarik ialah spekulasi mengenai MT akan membuat susulan terhadap pemecatan kedua-dua mereka daripada parti.

Pemimpin parti termasuk naib presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dan ahli MT, Datuk Abdul Rahman Dahlan menolak cakap-cakap itu namun masih ramai yang percaya terdapat kebenaran mengenai khabar angin tersebut.

Pada Selasa, Zahid menggesa orang ramai supaya berhenti menyebarkan khabar angin yang tidak berasas, sambil menambah bahawa isu berkenaan tidak pernah diperbincangkan.

Sebaliknya, beliau berkata, sebagai timbalan presiden, Muhyiddin kekal pengerusi kepada jawatankuasa pengurusan parti.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengakui bahawa mesyuarat pada Rabu merupakan sesuatu yang penting.

"Ia bukan seperti yang anda fikirkan. Sudah dua bulan sejak kali terakhir MT diadakan, jadi banyak isu yang perlu diperbincangkan," katanya.

Tengku Adnan berkata, resolusi yang diluluskan oleh Umno bahagian juga akan dibawa dalam perbincangan itu.

Mesyuarat MT kebiasaannya diadakan pada Jumaat terakhir pada setiap bulan tetapi ia tidak dibuat sejak 26 Jun lalu.

Mesyuarat pada Julai lalu dibatalkan selepas ia diadakan tiga hari selepas pengguguran Muhyiddin dan Shafie dari Kabinet, yang mencetuskan kekecohan di kalangan anggota parti.

Mesyuarat MT pada bulan berikutnya turut dibatalkan bagi membolehkan Umno bahagian mengakhiri mesyuarat tahunan mereka.

Kesemua 191 Umno bahagian mengadakan mesyuarat mereka, kecuali Umno bahagian di bawah kepimpinan Najib akan mengadakan mesyuarat mereka pada Sabtu ini.

Segelintir Umno bahagian menggesa kepimpinan parti supaya membatalkan keputusan mereka untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan bagi memberi tumpuan kepada pilihan raya umum akan datang.

Mereka kini mahu pemilihan parti diadakan seperti yang dijadualkan pada tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain