"Hormat Keputusan PM Tidak Hadir IACC" - SPRM - Semasa | mStar

"Hormat Keputusan PM Tidak Hadir IACC" - SPRM

Mustafar Ali

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mustafar Ali meminta semua pihak supaya menghormati keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak hadir pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) yang berlangsung di sini sejak Rabu lalu.

"Bagi SPRM dan kerajaan... keputusan ini dibuat oleh perdana menteri. Jadi itu sahaja saya boleh cakap.

"Beliau ketua kerajaan jadi keputusannya kita mesti hormat," katanya ketika ditemui pemberita selepas bengkel Menentang Rasuah Oleh Pihak Berkuasa: Apa Yang Berkesan dan Apa Yang Menyebabkannya Gagal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Khamis.

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan menegaskan Najib dinasihatkan untuk tidak hadir atas faktor keselamatan.

Keputusan tersebut dilakukan selepas mengambil kira sebarang kemungkinan yang akan dihadapi Najib berikutan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengannya.

Dalam perkembangan berasingan, Mustafar menegaskan sentimen dan persepsi rakyat terhadap badan penyiasat itu tidak terjejas walaupun timbul pelbagai isu berkaitan SPRM sejak kebelakangan ini.

"Macam-macam sentimen dikaitkan. Tetapi apa yang saya nampak sekarang ini amat positif. Saya nampak sentimen keyakinan rakyat terhadap SPRM sangat tinggi.

"Mereka menyokong SPRM atas apa jua kapasiti, tanggungjawab dan fungsi yang dilakukan," katanya.

SPRM , IACC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel

Boo anjing paling comel di dunia mati