suria

Dakwaan Pecat MT Umno Hanya Khabar Angin - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan dakwaan kononnya tujuh ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno termasuk Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dipecat minggu depan sebagai khabar angin.

Mengakui menyedari mengenai penyebaran khabar angin tersebut, Shahrizat berkata Wanita Umno sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sehingga hari ini benda itu khabar angin. Tiap-tiap hari saya dapat whatsapp list yang berlainan. Hari ini lain, esok lain. Saya percaya apa jua tindakan yang beliau buat, beliau mesti fikir panjang.

"Saya percaya semua tindak tanduk perdana menteri, beliau akan buat dengan bijaksana. Jadi kita jangan dengar khabar angin," katanya pada sidang media di PWTC di sini, Khamis.

Terdahulu Najib menghadiri taklimat tertutup bersama exco Wanita Umno dan 191 ketua Wanita Umno bahagian dari seluruh negara.

Beliau mengulas mengenai penyebaran maklumat kononnya Muhyiddin yang juga bekas timbalan perdana menteri dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal akan dipecat daripada MT Umno pada mesyuarat badan itu pada 9 September ini.

Shafie juga merupakan naib presiden Umno.

Lima nama lain yang dikaitkan ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Umno Bahagian Kulim Bandar Baru, Datuk Aziz Sheikh Fadzir; bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman dan Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Datuk Jumat Idris.

Shahrizat Abdul Jalil, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain