suria

Michael Hershman

PUTRAJAYA: Pengasas bersama Transparency International (TI) Michael Hershman menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat dan meminta maaf sekiranya beliau bersalah dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Beliau perlu menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat. Jika beliau buat salah, minta maaf, jangan larikan diri," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi bengkel Persidangan Antirasuah Antrabangsa (IACC) yang berlangsung di sini, pada Khamis.

Sebagai individu yang pernah menjadi penasihat antarabangsa untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP) selama tiga tahun sejak 2010, Hershman turut menasihatkan Najib supaya tidak menggunakan kuasanya untuk menghalang siasatan mengenai kemelut itu daripada diteruskan.

"Ini nasihat saya kepadanya. Saya pernah bekerjasama dengannya sebelum ini. Saya hormat beliau yang sentiasa menolong usaha membanteras rasuah di negara ini, jangan kita lupa. Saya percaya dengan keupayaannya, tetapi saya kecewa kerana dia gagal memberitahu apa yang sebenarnya berlaku," katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya siasatan itu ditangguhkan isu tersebut tidak akan hilang begitu sahaja sebaliknya kebenaran tetap akan muncul.

"Berdasarkan pengalaman saya, kebenaran akan muncul juga akhirnya. Lebih baik beliau perjelaskan kepada rakyat mengenai isu tersebut," katanya.

Pada masa sama, Herhsman turut meluahkan kecewaannya terhadap Najib yang tidak hadir pada persidangan itu yang berlangsung sejak Rabu lalu.

Katanya, Najib sepatutnya menggunakan persidangan tersebut  sebagai platform untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai wang "derma" RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadinya.

"Saya kecewa beliau tidak hadir. Beliau terlepas peluang untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Hershman berkata, kenyataan Najib yang hanya mendedahkan "penderma" dana tersebut berasal dari Timur Tengah bukanlah satu jawapan yang kukuh untuk menjawab segala persoalan berhubung kemelut berkenaan.

"Dari mana wang itu diperolehi dan wang tersebut digunakan untuk tujuan apa? Ia menimbulkan banyak persoalan. Beliau mesti tahu segala jawapan mengenainya. Beritahu perkara sebenar kepada rakyat," katanya.

IACC, SPRM, TI, Michael Hershman

Artikel Lain