suria

Pegawai SPRM Keempat Ditahan Berhubung Siasatan 1MDB

PETALING JAYA: Individu keempat daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan maklumat siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bocor.

Satu sumber mengesahkan bahawa Tuan Roslan Tuan Mat, yang bertugas di bahagian Operasi Khas telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, malam Isnin.

"Beliau telah merekodkan kenyataan pada pukul 8 hingga 10.30 malam.

"Beliau telah dipanggil untuk membantu siasatan berhubung kebocoran dokumen sulit kerajaan. Ini menjadikan beliau pegawai SPRM keempat yang dipanggil untuk disoal siasat," kata sumber itu.

Pada Isnin, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman menghabiskan masa selama dua jam menyoal siasat Pengarah Bahagian Operasi Khas Datuk Bahri Mohd Zin di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, manakala Ketua Bahagian Forensik Datuk IG Chandran disoal selama tiga jam di Akademi SPRM di Kuala Lumpur.


Pada Sabtu, polis menggeledah rumah Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan pejabatnya di SPRM.

Dokumen berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikat SRC International serta komputer riba telah dirampas oleh pihak polis.

Tindakan ini dilakukan selepas penangkapan bekas ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Rashpal Singh, ahli sekretariat kewangan dan pengubahan wang haram Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kebocoran maklumat tersebut.

Sarawak Report telah menerbitkan draf kertas pertuduhan kononnya dibocorkan oleh pasukan penyiasat 1MDB.

Sebelum itu, seorang pegawai kanan penguatkuasa SPRM  dari unit perisikan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Putrajaya, menafikan bahawa SPRM telah membocorkan maklumat mengenai siasatan 1MDB itu.
1MDB, SPRM, Tuan Roslan Tuan Mat

Artikel Lain