suria

1MDB: Dua Lagi Pegawai SPRM Dipanggil Ke IPD Putrajaya

PETALING JAYA: Dua lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipanggil untuk membantu siasatan berkaitan kebocoran maklumat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Selasa.

Insiden terbaharu ini menjadikan keseluruhannya enam pegawai SPRM telah diminta ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk merekod keterangan mereka.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob ketika dihubungi mStar Online mengesahkan perkara itu.

"Kedua-dua pegawai berkenaan bertugas di Bahagian Operasi Khas SPRM," katanya.

Selain itu, Rohaizad juga mengesahkan seorang lagi pegawai Bahagian Operasi Khas, Tuan Roslan Tuan Mat telah memberi keterangan di IPD sama antara pukul 8 hingga 10.30 malam pada Isnin.

Pada Isnin juga, pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman menghabiskan masa selama dua jam menyoal siasat Pengarah Bahagian Operasi Khas, Datuk Bahri Mohd Zin di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, manakala Ketua Bahagian Forensik Datuk IG Chandran disoal selama tiga jam di Akademi SPRM di Kuala Lumpur.

Sebelum itu, pada Sabtu, polis menggeledah rumah Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Sazilee Abdul Khairi dan pejabatnya di SPRM.

Dokumen berkaitan 1MDB dan bekas anak syarikat SRC International serta komputer riba telah dirampas oleh pihak polis.

Tindakan ini dilakukan selepas penangkapan bekas ahli lembaga penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Rashpal Singh, ahli sekretariat kewangan dan pengubahan wang haram Jabatan Peguam Negara, Jessica Gurmeet Kaur.

Mereka ditahan bagi membantu siasatan polis berhubung kebocoran maklumat tersebut.

Sarawak Report telah menerbitkan draf kertas pertuduhan kononnya dibocorkan oleh pasukan penyiasat 1MDB.

Sebelum itu, seorang pegawai kanan penguatkuasa SPRM  dari unit perisikan membuat laporan di IPD Putrajaya, menafikan  SPRM telah membocorkan maklumat mengenai siasatan 1MDB itu.

SPRM, Operasi Khas, Rohaizad Yaakob, 1MDB

Artikel Lain