suria

Penyerahan Pengurusan Khidmat Bekalan Air Kepada Air Selangor Boleh Dimuktamad Dalam 60 Hari

SERDANG: Kerajaan Persekutuan optimis proses penyerahan pengurusan perkhidmatan bekalan air kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dapat diselesaikan dalam tempoh 60 hari seperti yang ditetapkan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata beberapa siri mesyuarat antara pegawai kementerian dan kerajaan negeri Selangor telah diadakan bagi membincangkan serta menyelesaikan sebarang perkara berbangkit sebelum penyerahan dilakukan.

Katanya perkara berkaitan jadual penyerahan kuasa pengurusan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada kerajaan negeri Selangor melalui Air Selangor turut dibincangkan dalam mesyuarat bersama pegawai-pegawai kementerian pagi Selasa.

"Dalam pandangan kita, dengan kerjasama yang diberikan pihak berkenaan kita harus menyelesaikan pemindahan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya dalam sidang media semasa sambutan Aidilfitri kementerian itu Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini Selasa.

Beliau mengulas perkembangan proses Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor susulan pemeteraian Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama itu pada 10 Julai lepas.

Pemeteraian Perjanjian Tambahan membabitkan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Air Selangor itu menyaksikan pihak-pihak kepada perjanjian tersebut diberikan tempoh 60 hari untuk menyelesaikan 'Condition Precedent' (CPs) kepada Perjanjian Utama.

Ongkili berkata pihak berkenaan sebelum itu masih perlu menandatangani beberapa dokumen, antaranya Perjanjian Fasiliti sebagai syarat kepada PAAB mengeluarkan peruntukan RM1.65 bilion untuk membolehkan Air Selangor mengambil alih ekuiti syarikat-syarikat konsesi yang terlibat termasuk Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Beliau berkata perkara lain yang perlu diselesaikan ialah soal pemberian lesen pengoperasian oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kepada operator baharu, iaitu sama ada meneruskan lesen sedia ada atau membuat penggantian.

"Pada pandangan kami, semua urusan yang diperlukan dalam CPs dapat ditunaikan apabila semua pihak bekerja keras memastikan perkara berbangkit dapat diuruskan secara bersama," katanya.

Dalam pada itu, Ongkili berkata pihaknya belum dimaklumkan secara rasmi oleh kerajaan negeri berhubung keputusan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (Mtes) meluluskan beberapa permohonan yang dikemukakan kementerian dalam memastikan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) berjalan lancar.

Menurut laporan akhbar, Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dipetik sebagai berkata antara kelulusan yang diputuskan pada 30 Julai lepas itu antara lain melibatkan kebenaran merancang bagi projek berkenaan selain pelaksanaan kerja-kerja projek di tapak yang terlibat.

Menurut Mohamed Azmin kelulusan itu melibatkan permohonan yang diterima dari Pejabat Tanah, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Perhutanan Negeri.
Air Selangor, Dr Maximus Ongkili

Artikel Berikut

Artikel Lain