suria

SPRM Nafi Dokumen Bocor, Pengarah Disiasat

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan bahawa mereka membocorkan maklumat mengenai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Suruhanjaya itu turut menafikan kewujudan kertas pertuduhan seperti yang disiarkan dalam Sarawak Report di mana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan akan didakwa kerana menyalahgunakan dana 1MDB.

Seorang pegawai kanan penguatkuasa SPRM dari unit perisikan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Putrajaya di sini untuk menafikan perkara itu.

Dalam laporan yang dilihat oleh The Star, pegawai tersebut menulis: "Bagi pihak SPRM, saya menafikan kewujudan draf kertas pertuduhan dan ia tidak datang daripada kami.

"SPRM juga ingin menjelaskan bahawa mereka tidak membocorkan sebarang maklumat berkaitan siasatan ke atas 1MDB kepada orang luar.

"SPRM juga ingin menyatakan bahawa tiada siapa di dalam suruhanjaya itu terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri," menurut laporan polis itu.

Dalam perkembangan berkaitan, pegawai polis berada di ibu pejabat SPRM untuk merekodkan kenyataan daripada Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin.

Difahamkan pengarah tersebut juga disiasat berhubung dokumen bocor berkaitan siasatan 1MDB.

Tiga pegawai penyiasat dipercayai dari Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (CID), tiba di ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 2.45 petang Isnin.

Pada 31 Julai lalu, SPRM berkata draf yang dikatakan kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri adalah tidak berasas kerana siasatan membabitkan SRC International Sdn Bhd sedang dilakukan.

SRC International merupakan anak syarikat 1MDB sebelum ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada Februari 2012.



SPRM, dokumen bocor, 1MDB

Artikel Lain