suria

Mohamad Nafi Kata Umno Perlu Tanding Semua 36 Kerusi DUN N. Sembilan

Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa Umno negeri ini tidak memerlukan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain untuk mentadbir negeri tersebut atau mahu bertanding kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri tersebut pada masa akan datang.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata beliau hanya memikirkan cara untuk memperkukuhkan BN apabila mencadangkan kepada kepimpinan peringkat kebangsaan bahawa Umno akan dipilih untuk bertanding kerusi majoriti Melayu pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

"Saya sentiasa berfikir bagaimana BN boleh menjadi lebih kuat dan berfikir pucuk pimpinan mungkin mahu mempertimbangkan untuk membenarkan Umno bertanding di kerusi majoriti Melayu.

"Apa yang saya katakan ialah formula tradisional atau pengagihan kerusi di seluruh negara mungkin dikaji semula untuk memperkukuhkan BN.

"Tidak ada niat jahat di pihak saya apabila saya secara terbuka mencadangkan perkara itu," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Mohamad berkata sekiranya Umno mempunyai peluang lebih baik untuk memenangi kerusi, tiada salahnya jika calon pilihannya dilantik.

Sebagai balasannya, parti komponen BN boleh sentiasa ditawarkan jawatan senator dan ini akan memberi peluang lebih baik untuk dilantik sebagai seorang menteri atau timbalan menteri.

"Perkara paling penting adalah untuk memastikan kemenangan BN.

"Kita akan menghadapi PRU yang sukar pada masa akan datang dan ia akan menjadi sia-sia jika kt menggunakan formula lama untuk pengagihan kerusi jika tidak berkesan," katanya.

Sebagai contoh, Mohamad berkata beliau yakin BN akan berjaya mendapatkan semula kerusi Parlimen Teluk Kemang jika bekas Menteri Besar Tan Sri Isa Samad dipilih sebagai calon.

Isa yang juga Ketua Umno Teluk Kemang, merupakan Ahli Parlimen Jempol.

Kerusi Teluk Kemang yang merupakan kubu kuat BN kini ditandingi secara tradisi oleh MIC.

Kerusi tersebut dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada dua PRU yang lalu.
Umno, Negeri Sembilan, Mohamad Hasan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain