suria

"Muhyiddin Tak Akan Ditangkap" - TPM

PUTRAJAYA: Tiada waran tangkap dikenakan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihak berkuasa telah memberi amaran kepada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin tersebut.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan khabar angin itu sebagai 'sampah', berkata beliau tidak tahu mengapa tuduhan itu tersebar memandangkan tidak ada sebab untuk bekas timbalan perdana menteri itu ditangkap.

"Saya menerima banyak panggilan daripada mereka yang prihatin bertanya sama ada benar atau tidak bekas timbalan perdana menteri akan ditangkap. Saya memberi jaminan kepada mereka bahawa beliau tidak ditangkap.

"Khabar angin ini benar-benar tidak masuk akal. Saya telah meminta Peguam Negara dan Ketua Polis Negara untuk mengesahkan dakwaan itu, mereka juga menafikannya.


"Saya kemudian menghubungi Tan Sri (Muhyiddin) secara peribadi pada pukul 2 pagi (semalam) untuk memastikan bahawa polis tidak menahan dia dan isterinya," kata beliau dalam satu temu bual dengan The Star.

Dr Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan pembohongan dan khabar angin yang berniat jahat itu.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat khabar angin ini. Khabar angin ini berniat jahat," kata beliau sambil menambah ia boleh menyebabkan kemarahan dan keresahan di kalangan rakan-rakan Timbalan Presiden Umno dan penyokongnya.

Pada Rabu, terdapat spekulasi bahawa Muhyiddin akan ditangkap selepas beliau digugurkan daripada Kabinet.

Khabar angin itu tersebar dengan cepat berikutan klip video bocor, di mana Muhyiddin memberitahu kepada beberapa orang, termasuk Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tentang perbualan didakwanya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tentang isu 1Malaysia Development (1MDB ).

Mengenai perkara itu, Dr Ahmad Zahid berkata apa yang berlaku adalah 'perkara' di dalam rumah Muhyiddin dan perbualan di kalangan rakan-rakan tidak sepatutnya disebarkan.

"Orang tengah marah dia akan bercakap apa-apa sahajalah.

"Saya faham bagaimana rasanya kerana saya pernah mengalami semua itu apabila saya disuruh meletakkan jawatan (sebagai Ketua Pemuda Umno) dan kemudian telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri," katanya.

Ditanya sama ada terdapat kebenaran dalam dakwaan Muhyiddin, Dr Ahmad Zahid tidak menjawab tetapi mengulangi: "Orang tengah marah dia akan bercakap apa-apa sahajalah. Apa pun, kita mesti hormat kepadanya."

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata parti di peringkat bahagian bebas untuk menjemput sesiapa sahaja untuk pembukaan mesyuarat agung tahunan mereka.

Beliau berkata parti itu tidak pernah campur tangan dalam pemilihan tetamu kehormat.

"Malah saya tidak tahu siapa yang mereka jemput," kata Noh kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah di karnival kemahiran pendidikan di sini.

Noh berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai keputusan Umno bahagian Sungai Besar Umno untuk membatalkan jemputan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk pembukaan Mesyuarat Agung Tahunannya pada 30 Ogos.

Artikel Lain