suria

“Sekali Lagi, Perasaan Pada Awal Mac 2014 Muncul Semula" – Kakak Mangsa MH370

Mohamad Sofuan Ibrahim, antara 239 penumpang dan anak kapal yang hilang dalam penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing pada Mac tahun lalu.

PETALING JAYA: “Sekali lagi, perasaan pada awal Mac 2014 muncul semula,” kata Farah Ibrahim, kakak salah seorang penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang dimuat naik bersama gambar adiknya di akaun instagramnya pada Khamis. 

Catatan luahan di laman sosial itu dibuat pada hari yang sama laporan mengenai serpihan daripada sayap pesawat ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi, seolah-olah mengenang kembali insiden misteri kehilangan pesawat itu pada 8 Mac tahun lalu yang turut melibatkan Mohamad Sofuan, 33.

“Kehilanganmu (Mohamad Sofuan) adalah penderitaan yang tidak pernah hilang. Ia menyakitkan dalam pelbagai cara,” kata Farah lagi.

Kenyataan kakak Mohamad Sofuan di Instagram itu turut disertakan dengan hashtag #rememberingsofuan #prayforsofuan #prayforeveryoneinmh370 #endlesslove #faith #family #siblings #brightfutureyoungman.

Difahamkan, Farah menjadikan akaun instagramnya sebagai salah satu ruang untuk meluahkan perasaan mengenai Mohamad Sofuan yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

'Posting' terbaharu di akaun instagram Farah pada Khamis.

Setiap ingatan yang dikongsi di laman sosial itu jelas menunjukkan Farah tidak pernah berputus asa mengenangkan nasib adiknya dengan kasih yang tidak berbelah bahagi.

Setiap gambar dan catatan Farah mengenai Mohamad Sofuan turut disertakan dengan tempoh pemergian adiknya itu sejak insiden yang berlaku pada awal Mac tahun lalu.

Antara lain yang dikongsikan di instagram miliknya ialah kira-kira seminggu lalu adalah gambar Mohamad Sofuan pada ‘hari ke-500’ dengan keterangan “sentiasa memikirkan kamu sepanjang masa.”

Dilaporkan serpihan daripada sayap pesawat itu dihanyutkan ke Pulau Reunion awal pagi Khamis besar kemungkinan milik MH370 yang hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal.

Penerbangan MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac tahun lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Mohamad Sofuan yang merupakan pegawai di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berangkat ke Beijing bagi melaporkan diri untuk memulakan tugas di sana.

Pada 29 Januari lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan kehilangan pesawat itu sebagai kemalangan mengikut peraturan penerbangan antarabangsa, dan semua 239 penumpang dan anak kapal di dalamnya dianggap terkorban.

Mohamad Sofuan Ibrahim, MH370

Artikel Lain