suria

Mesyuarat PAC Ditangguh Sehingga Pengerusi Baharu Dilantik - Pandikar Amin

Pandikar Amin Mulia

KUALA LUMPUR: Mesyuarat yang melibatkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ditangguhkan dan hanya akan diadakan semula selepas pelantikan pengerusinya yang baharu, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata ia adalah selaras dengan kehendak Peraturan Mesyuarat 77 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat mengambil maklum mengenai pelantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dan tiga lagi Ahli Dewan Rakyat iaitu Datuk Wilfred Madius Tangau, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam senarai Kabinet Persekutuan yang baharu," katanya dalam satu kenyataan Khamis.

Pandikar berkata pelantikan itu menyebabkan jawatan Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa di dalam PAC menjadi kosong selaras dengan Peraturan Mesyuarat 77 (4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

"Bagi mempengerusikan mana-mana mesyuarat PAC, seorang pengerusi hendaklah dilantik oleh majlis terlebih dahulu dan ia hendaklah dibuat melalui satu usul yang dikemukakan oleh seorang menteri di dalam majlis mesyuarat untuk diputuskan," katanya.-- Bernama


Artikel Lain