suria

YPM Tawar Biasiswa Ijazah Sarjana, Kedoktoran Di Jepun

Abdul Karim Mustafa

PETALING JAYA: Yayasan Pelajaran Mara  (YPM) menawarkan biasiswa pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan Kedoktoran selaras hasrat negara untuk melahirkan lebih ramai golongan teknokrat dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, sehubungan itu, pihaknya menyediakan 240 tempat untuk peringkat pengajian Ijazah Sarjana dan 50 bagi Kedoktoran.

"Penajaan Ijazah Sarjana dan Kedoktoran mensyaratkan pemohon adalah graduan dari universiti Jepun dan keutamaan diberikan kepada kursus-kursus yang dapat menyumbang kepada keperluan pembangunan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Untuk rekod, seramai 501 orang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda, 73 peringkat Ijazah Sarjana dan 18 peringkat Kedoktoran.

Abdul Karim berkata, program Pengajian Tinggi Malaysia Jepun (MJHEP) YPM adalah penajaan biasiswa untuk pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran di universiti Jepun hasil Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan pada 1983.

"MJHEP adalah fasa keempat pelaksanaan program biasiswa yang menyasarkan untuk melahirkan 800 pemegang Ijazah Sarjana Muda yang akan berkhidmat sebagai jurutera dalam bidang perindustrian," katanya.

YPM adalah salah satu agensi pendidikan Mara dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program ini sejak 1993 melalui Program Dana Pinjaman Pendidikan Tinggi (DPPT) fasa pertama hingga ketiga.


Artikel Lain