suria

70 Peniaga Rope Walk Kecewa MBPP Tidak Benarkan Berniaga

GEORGE TOWN: Sejumlah 70 peniaga di Rope Walk Lebuh Armenien di sini melahirkan kekecewaan dengan tindakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang tidak membenarkan mereka berniaga di kawasan itu.

Pengerusi Bertindak Peniaga Lebuh Armenien Yunoos Salleh berkata peniaga  selama ini menjadikan kawasan lapang bersebelahan Pusat Kegiatan Belia MBPP di Lebuh Armenien itu sebagai tempat berniaga tetapi kini dihalau tanpa sebarang perbincangan dan pembelaan.

"Kami (peniaga) pada mulanya diarah untuk tidak berniaga selama seminggu bermula 7 Julai sehingga 14 Julai lepas di tapak niaga masing-masing melalui satu surat yang dikeluarkan MBPP awal bulan ini.

Selepas tarikh itu, kami berniaga seperti biasa tetapi penguatkuasa MBPP datang dan mereka menghalau peniaga di kawasan berkenaan dan arahkan berpindah ke Lebuh Clamant," dakwanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau ditemui selepas mengetuai kira-kira 70 peniaga di Lebuh Armenien mengadakan bantahan aman di hadapan Balai Polis Sentral di sini bagi mendesak kerajaan Pulau Pinang dan pihak berkuasa memberikan ruang perniagaan untuk mereka mencari rezeki.

Yunoos mendakwa selepas berpindah di kawasan baharu itu, penguatkuasa MBPP yang menjalankan operasi bertindak merampas barang-barang jualan peniaga.

"Di tapak Rope Walk Lebuh Armenien yang selama ini menjadi ruang perniagaan kami telah ditutup dengan penghadang bagi menjalankan kerja-kerja membangunkan taman landskap. Jadi kami hendak cari rezeki di mana sekarang ini?," katanya.

Seorang peniaga Teh Poh Suan, 46, berkata penutupan Rope Walk Lebuh Armenien itu menyebabkan beliau hilang punca pendapatan.

"Saya ada penyakit buah pinggang dan tiga kali seminggu perlu mencuci darah yang kosnya RM170 sebulan. Janganlah buat kami seperti ini, siapa yang mahu menanggung kehidupan kami kalau punca rezeki ditutup tanpa memberikan ruang ganti," katanya.

Seorang lagi peniaga, P. Mary Pakivathi, 42, yang berkerusi roda merayu agar MBPP tidak melayan mereka seperti ini dan menutup punca rezeki mereka.

"Saya cacat dari kecil, siapa yang mahu memberikan pekerjaan kepada saya.

Janganlah tutup periuk nasi saya, bagaimana saya mahu mencari rezeki dan membesarkan anak yang kini berusia 12 tahun.

Berniaga di sini saya boleh mendapat untung antara RM100 hingga RM150 sehari, jadi berilah lokasi lain untuk saya berniaga kalau mahu tutup tempat ini," katanya.-- Bernama

Rope Walk, Lebuh Armenien, MBPP

Artikel Lain