suria

Rombakan Kabinet: Pemuda Umno Harap Tiada Pihak Cetus Perpecahan Dalam Parti

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno berharap rombakan jemaah menteri tidak dijadikan pencetus oleh mana-mana pihak kepada perpecahan dalam parti itu.

Pemuda Umno dalam satu kenyataan hari ini menyatakan Umno memerlukan seluruh kepimpinan dan keahliannya untuk merapatkan barisan bagi menghadapi cabaran pilihan raya umum kelak.

"Sekarang hanya tinggal kurang tiga tahun sebelum pilihan raya umum akan datang.

"Inilah masa untuk kita bersatu, menggemblengkan tenaga dan menyatukan hati untuk membuktikan bahawa tradisi parti yang membela rakyat masih subur di kalangan ahli," kata kenyataan tersebut.

Menurutnya, Pemuda Umno menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan anggota pentadbiran kerajaan.

"Atas prinsip itu, parti sayap akur dan menghormati keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat rombakan jemaah menteri.

"Pemuda Umno berharap dengan rombakan ini, kerajaan dapat diperkukuhkan lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan membuktikan bahawa amanah yang dipikul tidak sesekali dikompromi dan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan," menurut kenyataan itu.

Pemuda UMNO tetap menghormati bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden Umno, begitu juga bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal selaku Naib Presiden Umno walaupun dua pemimpin tersebut telah digugurkan daripada kabinet.

Pemuda UMNO juga berharap bahawa antara isu yang menghakis keyakinan rakyat seperti 1Malaysia Development Berhad perlu terus disiasat.

"Rakyat perlu kebenaran dalam isu ini melalui proses siasatan yang sedang berlangsung oleh pasukan siasatan khas, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

"Institusi-institusi tersebut perlu diberikan masa dan kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa sekatan mahupun provokasi dari mana-mana pihak," kata kenyataan itu.-- Bernama

Umno, Kabinet, Pemuda Umno

Artikel Lain