suria

Adnan Arah Aktiviti Pembalakan Di Ulu Tembeling Dihentikan Serta-Merta

Adnan Yaakob

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang mengambil tindakan drastik menangani masalah penerokaan hutan di Ulu Tembeling dengan mengarahkan semua kerja pembalakan di kawasan itu dihentikan serta-merta sementara siasatan dijalankan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, sebelum ini kerajaan negeri telah mengeluarkan tujuh lesen untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan itu termasuk kepada Yayasan Pahang.

"Aktiviti pembalakan di situ telah kita hentikan serta-merta untuk siasatan dan pihak yang menjalankan kegiatan pembalakan di situ sebelum ini memang ada lesen.

"Kawasan yang diluluskan untuk pembalakan juga tidak termasuk dalam Taman Negara Kuala Tahan mahupun rizab Taman Negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Yayasan Pahang di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media beberapa hari lepas berkenaan pembalakan di kawasan Hutan Ulu Tembeling yang menyebabkan ekosistem berhampiran Taman Negara itu tercemar.

Bernama sebelum ini turut melaporkan aktiviti penerokaan hutan yang agresif serta pembalakan yang tidak terkawal di kawasan itu menjejaskan sungai utama di kawasan Ulu Tembeling yang membekalkan sumber air ke Sungai Pahang.

Sungai Lar dan Sungai Pengau yang mengalir ke Sungai Pahang dan menjadi sumber air minuman penduduk di negeri ini tercemar teruk dengan warna airnya menjadi keruh dan cetek sehingga paras buku lali akibat mendapan pasir berpunca daripada aktiviti tersebut.

Adnan turut menjelaskan Yayasan Pahang sebelum ini memperolehi lesen untuk menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan itu sebagai antara sumber pendapatan untuk menampung perbelanjaan pelajar yang memerlukan bantuan di negeri ini.

"Sebelum ini Yayasan Pahang bergantung kepada hasil pembalakan, namun kini 60 peratus daripada hasil pendapatannya datang daripada sumber tanaman kelapa sawit dan hanya 40 peratus menerusi hasil balak," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan kelestarian alam sekitar di negeri ini dan mengalu-alukan laporan media berkenaan sebarang aktiviti penerokaan hutan dan kegiatan pembalakan yang menyebabkan pencemaran alam.

Katanya kerajaan negeri juga prihatin dengan pemuliharaan alam sekitar di negeri ini termasuk memulihara Taman Negara daripada terjejas dengan sebarang aktivii pembalakan dengan menetapkan 1.5 kilometer dari kawasan hutan Taman Negara sebagai zon penampan.

Dalam perkembangan lain, Adnan berkata kerajaan negeri bersedia untuk mempertimbangkan permohonan 32 kontraktor menjalankan kegiatan perlombongan buaksit di Felda Bukit Goh.

"Pertimbangan ini ada dua jenis, boleh jadi kita lulus, boleh jadi kita tidak lulus. Kita akan timbangkan, yang paling penting peneroka yang teribat jangan ditipu oleh kontraktor," katanya.--Bernama


Artikel Lain