suria

Insiden Low Yat: Papagomo Dibebaskan Daripada Tahanan Polis

Wan Mohd Azri Wan Deris.

KUALA LUMPUR: Wan Mohd Azri Wan Deris atau penulis blog Papagomo dibebaskan daripada tahanan polis selepas empat hari berada di dalam lokap atas dakwaan terlibat dalam pergaduhan di Plaza Low Yat.

Memakai baju-T hitam dan seluar jeans biru, Papagomo keluar daripada balai polis Dang Wangi kira-kira pukul 4.40 petang Jumaat.

Dia dibebaskan selepas perintah remannya berakhir.

"Tiada komen," katanya sambil tersenyum ke arah wartawan sebelum masuk ke dalam sebuah kereta.

Ketua Penyiasat Polis Dang Wangi, M Gunalan mengesahkan pembebasan blogger tersebut.

Peguamnya Ahmad Shuaib Ismail menjelaskan walaupun perintah reman terhadap anak guamnya tamat, siasatan masih berjalan.

Beliau berkata Papagomo masih boleh dipanggil atau didakwa di mahkamah pada bila-bila masa.

Ahmad Shuaib menambah anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada polis dan menyerahkan gajetnya untuk siasatan.

Peguamnya juga menolak dakwaan bahawa penulis blog itu mengeluarkan kenyataan di media sosial yang mengapi-apikan ketegangan kaum.

Beliau mendakwa bahawa orang lain juga mempunyai akses kepada akaun penulis blog ini.

"Sesiapa sahaja boleh meletakkan gambar dan skrin cetak dan mengatakan bahawa kenyataan itu dikeluarkannya. Sesiapa sahaja boleh mengatakan bahawa dia melakukan perkara itu, tetapi adakah ia boleh dibuktikan?

"Walaupun dia di dalam lokap, laman webnya masih aktif dan dikemas kini. Jadi ini bermakna ada orang lain yang menguruskan laman web Papagomo," dakwa Ahmad Shuaib.

Papagomo ditahan pada malam Selasa kerana didakwa menyiarkan sekeping gambar mangsa rompakan di media sosial dan mengaitkannya dengan insiden pergaduhan di Plaza Low Yat.


Papagomo, Plaza Low Yat

Artikel Lain