suria

Pembangkang Dicabar Nafi Tidak Jumpa Justo - Shabery Cheek

Ahmad Shabery Cheek.

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa pihak pembangkang supaya segera membuat penafian yang mereka bertemu dengan bekas pengarah PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo untuk membeli maklumat sulit.

Sekiranya mereka tidak berbuat demikian ia sekali gus menunjukkan kepada orang ramai bahawa dakwaan itu adalah benar, katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengesahan polis Thailand yang mengatakan Justo telah mengadakan pertemuan dengan individu penting dalam pakatan pembangkang Malaysia sebelum menjual maklumat sulit milik syarikat itu.

Pada Khamis, jurucakap Polis Diraja Thailand, Pol Lt Gen Prawut Thavornsiri memberitahu sidang media di Bangkok bahawa Justo mengaku mengadakan pertemuan tersebut di Singapura.

Justo, 49, ditahan oleh Jabatan Pembanterasan Jenayah (CSD), Polis Thailand di pulau peranginan terkenal, Koh Samui, pada 22 Jun lepas, selepas PetroSaudi membuat laporan rasmi terhadap kegiataan peras ugut oleh lelaki warga Switzerland itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Shabery berkta jikalau benar dakwaan bekas wartawan Leste Melanyi bahawa Sarawak Report memalsukan laporan tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), maka ia menunjukkan wujud satu konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Baru-baru ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlanmengadakan sidang media untuk mendedahkan video yang mengandungi dakwaan Melanyi tentang bekas majikannya, Clare Rewcastle-Brown, memalsukan bukti bagi menyokong siri pendedahan portal berita itu tentang 1MDB.

"Saya sudah lihat video dan pengakuan yang dibuat amat memeranjatkan dan menjadi satu daripada bahan bukti konspirasi yang serius," kata Ahmad Shabery.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pihak pembangkang berkenaan perlu memberi penjelasan sahih berhubung dakwaan video berkenaan.

"Mereka kena buktikan juga...kalau betul benar terlibat ia satu perkara serius...tetapi saya tidak mahu tuduh sesiapa sehingga ada kesahihan dalam perkara tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata semua pihak perlu menunggu laporan penuh Ketua Audit Negara berhubung isu 1MDB dan jangan menggembar-gemburkan sesuatu pekara yang tidak tahu kesudahannya.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga sependapat dengan Ahmad Shabery dan Hishammuddin yang video itu merupakan satu pendedahan serius dan polis perlu mengambil tindakan segera.

"Jika didapati bersalah, tindakan perlu diambil terhadap mereka tidak kira pihak mana. Semua pihak yang terlibat mesti bertanggungjawab," katanya kepada pemberita dalam majlis yang sama.

Beliau juga berkata dakwaan pertemuan Justo dengan pemimpin pembangkang Malaysia di Singapura itu merupakan perbuatan sabotaj dan pengkhianatan terhadap negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain