suria

MH17: Adik Akan Tunaikan Hasrat Kakak Sejak 35 Tahun Lalu Pada Aidilfitri Ini

Suasana pilu ketika jenazah Allahyarhamah Noor Rahimah Mohd Noor disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Lama, Tambun di Ipoh pada Ogos tahun lalu. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: "Hasrat kakak sebelum ini untuk bersama adik-beradik pada Aidilfitri buat pertama kali selepas 35 tahun akan 'ditunaikan' tahun ini," kata Noor Aini Mohd Noor, 50-an, adik kepada seorang penumpang mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, Allahyarham Noor Rahimah Mohd Noor, 67.

Noor Aini berkata, kakaknya yang menetap di Geneva, Switzerland selama lebih 30 tahun pulang ke Malaysia berseorangan dengan hasrat menyambut hari raya bersama keluarga di Perak sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, namun hasrat kakaknya itu hanya 'separuh jalan' kerana terkorban dalam nahas semasa menaiki penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun jelas Noor Aini, mereka adik-beradik menerima berita mengenai pemergian itu dengan reda dan menganggapnya sebagai satu ketentuan takdir.

"InsyaAllah, raya tahun ini kami merancang untuk berkumpul bersama-sama adik-beradik di rumah keluarga kami di Ipoh. Di rumah inilah yang kami sepatutnya menantikan kehadirannya dari Amsterdam.

"Jika semuanya mengikut seperti apa yang dirancang, kami akan mengadakan kenduri tahlil arwah dan menziarah kuburnya pada hari raya nanti.

"Walaupun tiada jasad di depan mata tetapi arwah akan bersama dalam ingatan dan kasih sayang kami adik-beradik yang amat kuat. Kami adik-beradik akan beraya bersama-sama sebagaimana yang dihajatinya," kata Noor Aini kepada mStar Online.

Allahyarham Noor Rahimah Mohd Noor.

Noor Rahimah merupakan antara 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban dalam nahas MH17 yang terhempas selepas ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai tahun lalu.

Bagaimanapun jelas Noor Aini dengan nada sebak meluahkan, air matanya tidak boleh ditahan setiap kali teringatkan arwah, memandangkan hubungan mereka adik-beradik cukup rapat.

Mengimbas kembali, anak ketujuh daripada 14 adik-beradik itu berkata, walaupun kakaknya menetap di Geneva, tetapi dia sentiasa menghubungi keluarganya di Malaysia hampir setiap minggu.

Malahan kata Noor Aini, kakaknya yang merupakan anak kedua itu tidak pernah lupa untuk menghubungi keluarga pada setiap Hari Raya Aidilfitri.

"Bila dia telefon, dia kata... 'Kak Ngah (panggilan di kalangan adik-beradik) minta maaf sebab tak dapat balik beraya, kirim salam kat semua'.

"Sudah 35 tahun dia tak berhari raya dengan kami. Kali terakhir dia pulang ke Malaysia pun lima tahun sebelum kejadian berlaku, tetapi bukan masa hari raya. Penerbangannya dari Amsterdam tahun lepas itulah yang sepatutnya menjadi pertama kali untuk berhari raya bersama kami selepas 35 tahun," katanya.

Nahas pesawat MH17 pada 17 Julai tahun lalu meragut nyawa Noor Rahimah bersama 297 penumpang dan anak kapal.

Mengulas lanjut, Noor Aini berkata, mereka sekeluarga begitu gembira dengan rancangan arwah untuk pulang berhari raya di Malaysia.

"Dia (arwah) seronok sangat nak balik beraya dengan kami adik-beradik, dan kami pun seronok sangat tunggu dia balik.

"Saya antara yang paling rapat dengan kakak (arwah) sebab dialah yang jaga saya semasa masih kecil. Dia lebih daripada seorang kakak, dia diibaratkan emak buat saya dan adik-beradik lain," katanya panjang lebar sambil sesekali suaranya tersekat-sekat menahan sebak.

Noor Aini bagaimanapun bersyukur kerana kakaknya meninggalkan pesanan paling bernilai kepada mereka adik-beradik yang pasti akan diingati sampai bila-bila.

"Dia pesan "Bersatu-padulah adik-beradik, mak dan ayah dah tak ada (meninggal dunia)". InsyaAllah kak... kami akan ingat pesanan itu," kata Noor Aini.

Artikel Lain