suria

"Segalanya Tiada Erti Tanpa Mummy" - Anak Ketua Pramugari MH17

TINGGAL KENANGAN... Nur Diyana bersama ibunya, Dora Shahila.

KUALA LUMPUR: Kedatangan Aidilfitri paling ditunggu-tunggu umat Islam di seluruh dunia, namun berbeza dengan anak tunggal Ketua Pramugari MH17 yang akan menyambut 1 Syawal serentak dengan ulang tahun pertama tragedi MH17.

Nur Diyana Yazeera Yazli, 16, anak kepada Allahyarham Dora Shahila Kassim yang terkorban dalam tragedi MH17 berkata, tahun ini sudah dua kali dia menyambut Hari Raya tanpa ibu tersayang dan dia sedar situasi seperti ini bakal dilaluinya sepanjang hayat.

“Seperti tahun lepas, saya tak sambut raya dan mungkin juga untuk tahun-tahun seterusnya. Walau hampir setahun berlalu, saya masih bersedih, hanya masa yang dapat menentukannya.

“Bagi saya, kalau raya mesti ada mummy ,tapi sekarang mummy sudah tiada, jadi ia sudah tidak beri sebarang erti lagi,” katanya ketika ditemuramah mStar Online di di sini, Jumaat.

Ketika ditemui di kediamannya di Taman Tun Dr Ismail di sini, Diyana Yazeera yang bersekolah asrama penuh di  Kolej Tunku Kurshiah, Bandar Enstek, Negeri Sembilan baharu sahaja pulang ke rumah neneknya untuk bercuti Hari Raya.

Kebetulan, keesokan harinya (Sabtu) diadakan majlis memperingati tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang menghimpunkan waris-waris mangsa di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dan beliau turut dijemput.

Katanya, bapa saudaranya yang dipanggil ‘abah’, Don Shahidan, 49, dan neneknya, Hasnah Mohd Yusuf, 72, juga akan pergi ke majlis itu bersama beberapa lagi saudara-mara.

Nur Diyana melihat potret Allahyarham ibunya, Dora Shahila sambil diperhatikan pak ciknya, Don Shahidan Kassim bersama neneknya Hasnah Mohd Yusof di kediaman mereka di Taman Tun Dr Ismail pada Jumaat. - foto IZZRAFIQ ALIAS/The Star.

Menurut Diyana Yazeera yang lebih mesra dipanggil Nana, walaupun Aidilfitri dan majlis itu tidak dapat mengubah takdir, beliau tetap menghormati kedua-dua sambutan itu.

“Saya tetap berpuasa, tetap akan bersalam-salaman di pagi raya, tapi setakat itu sajalah.

“Begitu juga dengan majlis di Kompleks Bunga Raya. Saya akan pergi ke sebagai tanda memberi penghormatan kepada mummy dan mangsa-mangsa lain..

"Ia juga sebagai tanda menghormati jemputan dan majlis yang dianjurkan khas untuk mangsa dan waris-waris,” katanya.

Ditanya perasaannya tentang ulang tahun pertama tragedi MH17, pelajar tingkatan 4 ini berkata tidak mudah untuk beliau berdepan dengannya.

“Memang saya tak boleh terima, ia berlaku mengejut. Semakin ia hampir, hati saya semakin sedih.

Nur Diyana sebak kerana meraikan sambutan Aidilfitri buat kali kedua tanpa ibunya.

"Ia menunjukkan sudah setahun mummy tak ada. Mahu atau tidak saya kena terima hakikat, saya kena kuat untuk teruskan hidup ini dan tunaikan janji-janji saya dengan mummy untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Ditanya tentang perancangan cutinya, Nana berkata selain akan terbang ke Amsterdam pada 15 Julai ini untuk menghadiri satu lagi upacara peringatan di sana, beliau akan menghabiskan masa selebihnya bersama keluarga.

“Apabila sekolah bercuti, saya hanya teruja untuk balik ke rumah dan jumpa ahli keluarga.

“Tentang Aidilfitri dan majlis memperingati mangsa MH17 itu, tapi saya tak fikir sangat,” katanya.

Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 selepas ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Nur Diyana sebak kerana meraikan sambutan Aidilfitri buat kali kedua tanpa ibunya.

Artikel Lain