suria

Pelajar Malaysia Dibekalkan Topeng, Ubat Ekoran Letusan Sinabung

JAKARTA: Pelajar Malaysia di Sumatera Utara dibekalkan topeng mulut dan bekalan ubat-ubatan oleh Education Malaysia (EM) di Indonesia ekoran letusan gunung berapi Gunung Sinabung yang dilaporkan semakin serius.

Pegawai EM Indonesia Kamarulazhar Abdul Salam berkata, setakat ini kesemua 1,173 pelajar Malaysia dilaporkan selamat malah lebih separuh daripada mereka telah berangkat pulang ke Malaysia sempena cuti musim perayaan.

Katanya hanya kira-kira 30 peratus pelajar Malaysia dalam jurusan perubatan sedang menjalani latihan pratikal di beberapa hospital kerajaan di Sumatera Utara dan mereka dilaporkan dan sihat.

Beliau berkata, menurut laporan terkini, debu valkonik gunung itu kini telah merebak sehingga ke kota Medan dan kawasan sekitarnya.

"Kawasan Serdang iaitu petempatan pelajar Malaysia yang menuntut di Universitas Islam Negeri Sumatera Utara (UINSU) dan Universitas Negeri Medan (UNIMED) mempunyai kualiti udara kurang sihat akibat debu valkonik," katanya ketika dihubungi di sini.

Kamarulazhar berkata, EM sentiasa menghubungi Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Cawangan Medan, Natasha As-Sakinah untuk mendapat maklumat keadaan pelajar Malaysia di Medan.

Katanya, keadaan debu di kawasan petempatan pelajar Malaysia di Universitas Sumatera Utara (USU) dilaporkan kurang serius jika dibandingkan dengan keadaan di kawasan sekitar Serdang.

"Hanya sebahagian kecil pelajar mengalami batuk-batuk dan kurang sihat kerana keadaan cuaca panas dan berdebu itu tetapi EM telah meminta semua pelajar mengambil langkah keselamatan dan menjaga kesihatan masing-masing," kata beliau.

Katanya, EM Indonesia juga telah juga telah menambah sebanyak 300 set bekalan kit kecemasan untuk kegunaan pelajar Malaysia di Medan yang disalurkan melalui PKPMI Cawangan Medan.

Letusan Gunung Sinabung itu dilaporkan berterusan sejak bulan lepas dan semakin serius dengan memuntahkan debu panas volkanik yang semakin tebal.

Menurut laporan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Republik Indonesia, letusan gunung itu masih pada tahap amaran berbahaya dan aktiviti volkanik masih belum berkurangan.

Menurut laporan media tempatan, lebih 7,000 penduduk sekitar 7 kilometer dari kawasan gunung itu telah dipindahkan ke penempatan sementara.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata ibu bapa pelajar di Malaysia tidak perlu khuatir dengan keadaan anak-anak mereka kerana pihak kedutaan sentiasa membuat pemantauan.

"Kita mempunyai pelan kecemasan jika berlaku sesuatu bencana akibat letusan gunung berapi itu dan kesemua pegawai sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan bagi menjamin keselamatan para pelajar Malaysia di negara ini," kata beliau.

Katanya, setakat ini, kesemua pelajar Malaysia masih selamat dan mereka yang sedang menjalani latihan pratikal di hospital-hospital kerajaan juga masih meneruskan tugasan harian seperti biasa.-- Bernama

Artikel Lain