suria

Keselamatan Sempadan Dicadang Tanggungjawab Ketua Polis Negeri

KUALA LUMPUR: Keselamatan di negeri-negeri yang bersempadan dan kawasan sempadan negara seharusnya diletakkan di bawah ketua polis negeri, supaya segala operasi melibatkan agensi-agensi penguat kuasa terlibat dapat diselaraskan bawah satu arahan.

Bekas Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Wira Ayub Yaakob yang mencadangkan perkara itu berkata, ketua polis negeri haruslah diberikan kuasa untuk melakukan segala program, tindakan dan operasi.

" Melalui 'kuasa' ini, seluruh agensi dapat memainkan peranan masing-masing di bawah satu arahan. Ia akan memupuk semangat integrasi nasional antara agensi dalam memastikan keberkesanan keselamatan sempadan supaya tidak longgar," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata, Strategi Lautan Biru Kebangsaan( NBOS) merupakan satu penyelesaian yang terbaik bagi isu keselamatan negara yang membabitkan penjagaan sempadan negara terutama Malaysia-Thailand agar ia tidak mudah 'bocor' seperti sekarang, sekiranya kerjasama itu dapat dilaksanakan dengan efektif.

Ayub yang juga Exco Yayasan Pengaman Malaysia berkata NBOS perlu dilaksanakan secara integrasi melibatkan semua agensi kerajaan dalam menangani isu keselamatan sempadan Malaysia.

"Setiap agensi kerajaan seperti polis, tentera dan kastam tidak seharusnya bergerak secara solo atau unilateral. Dengan adanya NBOS ini, setiap agensi kerajaan dapat berkongsi maklumat supaya semua sumber yang ada dapat digembleng dan digunakan sepenuhnya," katanya.

Ayub juga berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan mewujudkan pasukan khas yang memberi perhatian terhadap hal ehwal di sempadan negara terutama dalam aspek kawalan keselamatan.

Selain itu, kerajaan juga perlu membina kem-kem di sekitar sempadan negara dan mengaplikasikan teknologi terkini dalam mengawal keselamatan di sempadan negara.

Beliau berkata kem-kem itu perlu dilengkapi kemudahan untuk pasukan keselamatan seperti rumah keluarga, sekolah, bekalan air bersih dan elektrik.

"Selain itu, kerajaan juga haruslah mempraktikkan semula cara pada tahun 60-an dengan memindahkan batalion dari satu lokasi ke satu lokasi selepas berkhidmat selama dua tahun di sesuatu kawasan.

"Selain itu, pihak kerajaan seharusnya mengunakan imej satelit dalam membuat pemantauan di sempadan negara daripada membina tembok tinggi yang menelan belanja yang besar. Ini lebih praktikal," katanya.

Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis.

Ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keselamatan di sempadan Malaysia sehinggakan pihak tidak bertanggungjawab sewenang-wenangnya keluar masuk melalui jalan haram seperti jalan tikus.

Isu ini semakin membimbangkan kerana sebelum muncul kes pemerdagangan manusia, sudah dilaporkan berlakunya penyeludupan pelbagai senjata api masuk ke negara ini dengan mudah, yang boleh mengancam keselamatan penduduk Malaysia.-- Bernama

Ayub Yaakob, NBOS

Artikel Lain