suria

Allahyarham Omardin Mauju Pejuang Bidang Persilatan - PM Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis persilatan di Pulau Pinang bersama Omardin beberapa tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemergian ke rahmatullah Tan Sri Omardin Mauju merupakan satu kehilangan besar kepada bidang persilatan negara dan sukar untuk dicari ganti.

Beliau berkata Allahyarham Omardin, pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), ketika hayatnya telah membangunkan seni silat lincah sebagai sebuah pertubuhan yang begitu dihormati dan disegani.

"Saya mengenali Allahyarham begitu dekat lagi sekian lama. Ini satu kehilangan yang amat sukar diganti dalam seni silat lincah.

"Secara peribadi, saya kehilangan sahabat karib pada diri saya. Saya amat menghargai apa yang telah Allahyarham lakukan atas nama agama dan bangsa Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham Omardin di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin Mauju di Sunway Batu Caves di sini, Sabtu.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam dengan turut menunaikan solat jenazah dan berdoa bersama-sama ahli keluarga dan rakan Allahyarham serta pengikut seni silat lincah tersebut.

Turut menziarahi ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Jenazah Allahyarham kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Puah kira-kira pukul 3 petang.

Allahyarham meninggal dunia di Hospital Tawakal di sini pada pukul 3.20 pagi tadi, akibat komplikasi buah pinggang.

Omardin dipilih sebagai penerima pertama Anugerah Pendekar Malaysia pada Julai 2011 yang disampaikan Najib pada majlis perhimpunan PSSLM sempena 50 tahun pertubuhan itu.-- Bernama

Omardin Mauju, PSSLM, Perdana Menteri

Artikel Berikut

Artikel Lain