suria

Sultan Selangor Berbuka Bersama Rakyat

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan sumbangan hari raya kepada 616 individu terdiri daripada golongan asnaf fakir dan miskin, anak yatim serta asnaf mualaf pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Jumaat. Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Jumaat.

Pada majlis itu, baginda turut berkenan menerima zakat perniagaan daripada empat syarikat berjumlah RM12.46 juta bagi tahun kewangan berakhir 2014, bagi pihak Lembaga Zakat Selangor.

Empat syarikat yang menyampaikan zakat perniagaan itu adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM5.14 juta, PLUS Malaysia Berhad (RM3.13 juta), UMW Holdings Berhad (RM2.95 juta) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) RM1.24 juta. 

Sultan Sharafuddin juga menyampaikan sumbangan hari raya kepada 616 individu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan asnaf terdiri daripada fakir dan miskin, anak yatim serta mualaf. 

Kesemua 325 asnaf fakir dan miskin serta 149 mualaf menerima sumbangan RM500 setiap seorang manakala 142 anak yatim pula menerima RM100. 

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM1.77 juta kepada Tabung Kebajikan Perubatan Hospital bagi disalurkan kepada 17 hospital sekitar Kuala Lumpur dan negeri ini. 

Sultan Sharafuddin serta para hadirin kemudian menunaikan solat Maghrib berjemaah diikuti solat Isyak dan Terawih.  

Turut hadir mengiringi baginda adalah Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa. 

Terdahulu, Mohamad Adzib dalam ucapannya mengingatkan nazir-nazir masjid dan pengerusi-pengerusi surau supaya tidak bergantung kepada khidmat imam import bagi mengimamkan solat Terawih. 

Beliau berkata, Selangor kini sudah mempunyai para hufaz yang boleh diketengahkan selain menyarankan semua pihak mengutamakan pelaksanaan solat sunat Terawih berbanding program tazkirah.

Sultan Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain