suria

Lelaki Gagal Tukar Status Gender Dalam MyKad

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menjalani pembedahan menukar jantina pada Jumaat gagal dalam cubaannya untuk menukar status sebagai wanita dalam kad pengenalannya apabila Mahkamah Tinggi menolak saman pemulanya terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Vasudevan a/l Ramoo, 25, juga gagal memerintahkan ketua pengarah JPN menukar namanya kepada Maha Lakshmi a/p Ramoo dan angka terakhir dalam kad pengenalannya kepada angka genap yang menunjukkan dia seorang wanita.

Ketika menolak saman itu, Hakim Datuk Asmabi Mohamad memutuskan bahawa Vasudevan gagal memenuhi empat syarat untuk membolehkan mahkamah memutuskan bahawa dia seorang wanita iaitu dari segi kromosom, gonad, genital dan psikologi.

Beliau berkata dalam menyelesaikan isu jantina, mahkamah perlu memeriksa sama ada plaintif memenuhi empat syarat itu, tetapi empat faktor itu tidak dinyatakan dalam dua laporan daripada sebuah hospital di Thailand, tempat Vasudevan menjalani pembedahan untuk menukar jantina pada 2012, dan pemeriksaan fizikal daripada Hospital Kuala Lumpur.

Kata Asmabi, dua laporan itu tidak merekodkan pelaksanaan prosedur perubatan seperti vaginoplasti, penavtomi serta pembesaran payudara dan punggung.

Asmabi berkata dalam menentukan jantina plaintif, perlu terdapat keterangan daripada seorang pakar yang menunjukkan plaintif seorang wanita, tetapi dia gagal membuktikan perkara itu dalam dua laporan perubatan berkenaan.

"Mahkamah tidak boleh menentukan sama ada plaintif lelaki atau wanita hanya dengan berpandukan dua laporan secara kasar itu," katanya.

Beliau berkata dalam surat pekeliling yang dikeluarkan pada 2007, JPN menyebut bahawa seseorang individu perlu mendapatkan perisytiharan mahkamah sama ada dia seorang wanita atau lelaki sekiranya dia ingin menukar status jantina dalam kad pengenalannya.

Kata hakim itu, tidak terdapat sebarang peruntukan dalam undang-undang berkaitan penukaran jantina melalui pembedahan jantina seperti yang dijalani plaintif.

Menurut Asmabi, kes ini bukanlah yang pertama di Malaysia kerana pada 2012, Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan tentang penukaran jantina dan Mahkamah Tinggi terikat dengan keputusan mahkamah itu.

"Saya tidak boleh membuat keputusan yang terkeluar daripada undang-undang, saya bersimpati dengan keadaan yang dialami plaintif, tetapi saya tidak mempunyai pilihan selain menolak saman pemula ini," kata hakim itu dan memerintahkan plaintif membayar kos perundangan RM3,000 kepada ketua pengarah JPN, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman itu.

Hakim itu juga memetik satu kes di United Kingdom, yang menyebut bahawa "seseorang individu tidak boleh membuat pilihan sendiri sama ada dia ingin dikenali sebagai lelaki atau perempuan. Membuat definisi dengan sendiri tidak boleh diterima. Ia akan menjadikan asas biologi yang diguna pakai dalam menentukan perbezaan, tidak langsung berguna.

Pada 16 Julai tahun lepas, Vasudevan memfailkan saman pemula bagi mendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa dia seorang wanita dan satu perintah untuk mengarahkan ketua pengarah JPN menukar namanya kepada Maha Lakshmi a/p Ramoo serta menukar angka terakhir dalam kad pengenalannya kepada angka genap untuk menunjukkan dia seorang wanita.

Plaintif diwakili peguam P.Muniswer manakala Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari mewakili ketua pengarah JPN.

Artikel Sebelum

Artikel Lain