suria

Suhakam, Abim Saran Kerajaan Terima Konvensyen Pelarian 1951

KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Hari Pelarian Sedunia 2015 pada Sabtu, kerajaan disaran menerima Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Berkaitan Status Pelarian 1951.

Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam berkata, penerimaan konvensyen ini merupakan tindakan bijak bagi menangani isu pelarian dan hak asasi manusia yang semakin membimbangkan.

Menurutnya sebagai anggota konvensyen, bantuan antarabangsa yang lebih baik dapat diterima termasuk penghantaran pulang pelarian ke negara asal.

Sehingga Mei 2015, jumlah pelarian serta pemohon suaka berdaftar di negara ini mencecah 153,004 orang," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Justeru, katanya, Malaysia selaku Pengerusi Asean, perlu memainkan peranan mendapatkan komitmen serantau dan antarabangsa untuk menghormati undang-undang antarabangsa melibatkan hak asasi manusia, pelarian, kemanusiaan serta berkaitan perairan sesebuah negara.

Sementara itu, cadangan untuk kerajaan menerima Konvensyen 1951 itu turut disuarakan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang menyifatkan dokumen berkenaan sebagai legitimasi politik dan perundangan untuk membela nasib golongan pelarian sejagat.

Abim juga menggesa kerajaan dan masyarakat menolak sama sekali sindiket penyeludupan manusia serta korupsi pihak-pihak yang bersubahat bagi mengaut keuntungan dengan menindas golongan pelarian. 

Dalam kenyataan berasingan, Abim berkata, tragedi penemuan kubur serta kem pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis, baru-baru ini seharusnya membangkitkan kesedaran rakyat Malaysia untuk prihatin terhadap polemik pelarian di negara ini. 

Ia turut menyeru rakyat Malaysia membantu pelarian yang berada di negara ini dengan mendaftar sebagai sukarelawan bagi membantu daripada segi kewangan untuk

memenuhi keperluan kesihatan dan pendidikan kanak-kanak dan wanita.
Suhakam, Abim, pelarian

Artikel Lain