suria

Palanivel, Subramaniam Jumpa Pengerusi Cawangan MIC Di PWTC

PUTRAJAYA: Pertempuran pusingan kedua bagi merebut jawatan presiden MIC akan bemula apabila presiden parti, Datuk Seri G. Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam mengadakan perjumpaan dengan pengerusi cawangan parti itu dari seluruh negara, Sabtu dan Ahad.

Sejak Februari, dua pemimpin itu serta orang kanan masing-masing giat berkempen untuk memikat hati 3,700 pemimpin akar umbi, termasuk melalui perjumpaan di restoran dan hotel.

Kedua-dua pemimpin itu akan cuba mengatasi satu sama lain dalam pusingan kedua ini melalui gelanggang dikenali sebagai 'Perhimpunan Khas', yang bakal dihadiri lebih 2,500 pemimpin cawangan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Para pemerhati berkata, perjumpaan itu amat diperlukan kedua-dua pihak untuk memudahkan mereka memberi penjelasan tentang tindakan serta pendirian masing-masing agar pengerusi cawangan dapat memilih pemimpin yang mampu membawa perubahan serta pembaharuan kepada MIC bagi menjadikan parti itu terus relevan.

Sambil menyifatkan perjumpaan itu sebagai perhimpunan aman, pengarah strategi MIC, A. K. Ramalingam berkata, Palanivel dan pasukannya akan mengadakan perjumpaan dengan pengerusi cawangan untuk memberi penjelasan tentang 'pembaharuan kepimpinan' yang akan beliau lakukan untuk membawa MIC ke tahap lebih tinggi.

"Perjumpaan esok (Sabtu) adalah semata-mata untuk mempamerkan sokongan padu kepada presiden parti yang dipilih, Datuk Seri Palanivel, dan kami ingin memberi penjelasan tentang dakwaan tidak benar yang dibuat puak pengacau bahawa Palanivel sudah bukan lagi anggota dan presiden (MIC)," katanya apabila dihubungi Bernama.

Mengenai rancangan kumpulan diketuai bekas Ketua Pemuda MIC, Datuk T. Mohan untuk bersemuka dengan Palanivel tentang keanggotaannya, Ramalingam berkata, mereka bersedia menangani ketidakpuasan hati dan soalan kumpulan itu, asalkan mereka tidak mengadakan bantahan seperti di ibu pejabat MIC pada Februari lepas.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, naib presiden MIC Datuk M. Saravanan menyatakan sebab beliau tidak bersetuju dengan hasrat Palanivel untuk mengadakan perjumpaan pada Sabtu.

Katanya, Palanivel telah hilang kedudukan serta hak untuk membuat keputusan setelah melanggar Seksyen 91 perlembagaan MIC, yang menyebut bahawa sesiapa sahaja yang pergi ke mahkamah, tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), secara automatik akan hilang kedudukan sebagai anggota parti itu.

"Saya dimaklumkan bahawa perjumpaan ini tidak terhad kepada anggota parti sahaja. Oleh itu, batalkan saja dan berhentilah daripada mengelirukan pemimpin akar umbi dengan berita palsu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan delegasi peniaga dari Chennai pada Jumaat.

Mengenai perhimpunan pada Ahad, Saravanan, yang merupakan sekutu Dr Subramaniam, berkata kira-kira 2,800 pengerusi cawangan telah mengesahkan kehadiran mereka bagi mendapatkan maklumat terkini tentang keadaan MIC serta kedudukan Palanivel dalam parti itu.

Senator Datuk S. Vigneswaran pula berharap perhimpunan yang diadakan Palanivel dan Dr Subramaniam tidak akan memburukkan lagi krisis yang sedang melanda parti itu.

"Sekiranya itu berlaku, maka perdamaian tidak mungkin tercapai, yang ada, hanya tindak balas. Semoga, dengan rahmat tuhan, kedua-dua kumpulan akan dapat berkompromi demi kebaikan parti dan masyarakat," katanya.

Seorang pengerusi cawangan yang enggan dikenali berkata, beliau akan menghadiri kedua-dua perjumpaan dan mengundi berasaskan isu dan memilih ketua yang lebih baik.

"Krisis ini perlu ditamatkan. Terdapat pemimpin yang baik serta berkemampuan dalam kedua-dua kem dan mereka patut bekerjasama untuk kebaikan masyarakat," katanya. - BERNAMA

G. Palanivel, S. Subramaniam, MIC

Artikel Lain