suria

Pakatan Baharu: PasMa Sokong DAP & PKR

Phahrolrazi Mohd Zawawi

PETALING JAYA: Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) akan bekerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), selagi parti politik itu menjurus kepada pembentukan pakatan pembangkang baharu.

Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, selain DAP dan PKR, kerjasama itu juga melibatkan parti Islam baharu yang akan ditubuhkan sebagai komponen dalam pakatan baharu tersebut.

"Saya lebih awal mengatakan Pakatan Rakyat sudah tak wujud dan sekarang telah disahkan oleh DAP. Sebelum ini, saya ada bagi dua cadangan iaitu mewujudkan pakatan baharu menerusi gabungan parti politik pembangkang dan perlu diwujudkan parti Islam baharu bagi menggantikan PAS sebagai salah satu komponen parti dalam pakatan itu.

"Jadi, dalam konteks untuk membentuk pakatan baharu, sudah tentu PasMa sebagai NGO akan menyokong DAP dan yang lain untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Jawatankuasa Pusat DAP pada Selasa memutuskan Pakatan Rakyat sudah tidak wujud lagi.

Phahrolrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Kundor berkata, PasMa sebelum ini menyokong Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS.

Tambahnya, menerusi pakatan pembangkang baharu yang akan dibentuk nanti, PasMa akan terus memberi sokongan dalam meraih pengundi buat parti-parti komponen dalam pakatan itu tanpa penyertaan PAS.

"Peranan kita (PasMa) adalah menyokong, maka ertinya kita bekerjasamalah. Dengan DAP pun kita kerjasama, PKR pun sama. Kita NGO penyokong pakatan pembangkang.

"Bagaimanapun, tindakan kita sekarang adalah bersama-sama pihak lain termasuk bekas pimpinan PAS untuk membentuk parti Islam baharu sebagai sekutu DAP dan PKR dalam pakatan baharu nanti," katanya.

Phahrolrazi pada sidang media baru-baru ini mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu yang mesra pembangkang dan bakal berperanan seperti PAS dalam pakatan pembangkang sebelum ini.


PasMa, DAP, PKR

Artikel Sebelum

Artikel Lain