suria

Usul Muktamar PAS Juga Putuskan Hubungan Dengan Kerajaan P.Pinang - Lim

Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN: Tindakan kepimpinan baharu PAS dan Muktamar PAS menerima usul memutuskan hubungan bukan sahaja dengan DAP tetapi juga dengan kerajaan negeri Pulau Pinang, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Susulan tindakan itu, katanya majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri dalam mesyuaratnya pada Rabu telah secara sebulat suara membantah usul itu.

Lantaran itu, Exco memutuskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan dikekalkan berdasarkan Dasar Bersama Pakatan Rakyat 2009 dan Manifesto Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa, katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui Facebooknya pada Rabu.

Katanya, apabila PAS memutuskan hubungan dengan DAP, parti itu telah mengambil langkah "membunuh" pakatan rakyat yang ditubuhkan pada 1 April 2008 oleh PKR, DAP dan PAS.

Lim berkata mesyuarat Exco itu turut memberi penghargaan kepada pemimpin-pemimpin PAS yang menghormati kerajaan negeri dengan meletakkan jawatan mereka dalam kerajaan negeri pimpinan DAP itu.

Dua daripada empat ahli PAS dalam majlis kerajaan tempatan iaitu Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dahalan Fazil dan ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mohd Nasir Yahya telah meletakkan jawatan masing-masing.

Dua lagi anggota PAS masih dalam kerajaan tempatan iaitu Yang Dipertua PAS Kawasan Tanjong, Yaacob Omar yang merupakan Ahli Majlis MBPP dan Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan dalam MPSP.

Pada Selasa, Lim mengeluarkan kenyataan bahawa pakatan rakyat yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud.

DAP, Pakatan Rakyat, PAS

Artikel Lain