suria

Selepas DAP Kata Pakatan Pecah, Masih Wujudkah Kerajaan Pakatan Di Selangor

PERTANYAAN yang bermain di bibir semua orang kini ialah apakah Kerajaan Negeri Selangor masih wujud.

Deklarasi DAP pada Selasa bahawa Pakatan Rakyat (PR) telah tidak wujud lagi bagaikan satu gegaran gempa bumi politik yang besar buat Negeri Selangor.

Kerajaan pakatan yang selama ini mentadbir tiga buah kerajaan negeri, akhirnya akan berpecah - meninggalkan sisa-sisa impian untuk ke Putrajaya dan pada masa yang sama krisis politik baru.

Pulau Pinang dan Kelantan, yang menyaksikan DAP serta PAS masing-masing mempunyai kawalan kukuh ke atas kerajaan negeri masing-masing tidak akan terjejas apa-apa dengan keputusan terbaru ini tetapi persoalan besar berlegar di Negeri Selangor yang mana ketiga-tiga parti iaitu PAS-DAP-PKR hamapir mempunyai kawalan yang sama banyak terhadap kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dalam situasi begini, bolehkah Kerajaan Selangor pimpinan PAS-DAP-PKR terus kekal? Apakah warga dan pengundi Selangor berhadapan dengan satu pilihan raya mengejut? Dengan siapakah PKR akan terus bersama? DAP atau PAS? Apakah PAS dapat menerima keadaan ini atau apakah mereka akan bertindak balas sebaliknya? Apakah DAP dan PKR bersatu untuk menyingkirkan PAS jika parti itu enggan meninggakan kerajaan negeri dengan sukarela?

Tidak ada siapa termasuklah pemain-pemain utama politik negeri ini yang berupaya memberi jawapan pasti apakah yang bakal berlaku dalam beberapa minggu ini.

Tetapi ada beberapa perkara penting yang sangat menyerlah dalam kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berhubung isu ini.

Pertama, DAP menyalahkan sepenuhnya tragedi ini ke atas bahu PAS, dengan menyatakan secara khusus pendirian PAS berhubung isu jawatan menteri besar Selangor, pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan yang terbaru keputusan yang diambil pada Muktamar Agung PAS.

Yang kedua, DAP menegaskan yang mereka akan berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali malah bersedia untuk bekerjasama dengan pihak lain.

Yang ketiga, kenyataan Guan Eng itu tidak menjelaskan sama ada PAS patut berundur atau terus kekal di dalam pakatan.

DAP tidak mahu mengambil bebanan sebagai pihak yang memainkan peranan menyingkirkan PAS dari pakatan.

Bagaimanapun, DAP tidak mempunyai hak atau kuasa untuk menyingkirkan PAS, dan amat jelas sekali apa yang diharapkan DAP ialah, PAS dengan sendirinya menerima isyarat ini sebagai petanda yang ia tidak lagi diperlukan di dalam pakatan dan dengan itu akan keluar secara sukarela.

“PAS telah menjadi satu bebanan yang tidak mampu lagi ditanggung oleh kami. Wakil-wakil PAS harus merenung kembali apakah langkah yang betul yang perlu mereka ambil. Bola kini di kaki mereka,” ujar ahli parlimen said Jelutong, Jeff Ooi.

Keputusan yang diambil oleh DAP ini adalah keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Eksekutif DAP yang bersidang pada malam Isnin tetapi apa jelas sekali DAP dan PKR seperti sudah mencapai satu kata putus bersama secara senyap sebelum pengumuman itu dibuat oleh DAP.

Ini kerana Biro Politik PKR turut mengadakan mesyuarat penting berhubung isu yang sama ketika analisis ini ditulis.

Sesetengah melihat kenyataan Guan Eng berhubung isu ini sebagai tidak menghormati posisi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku ketua pembangkang dengan bertindak membelakanginya.

Tetapi sebenarnya ini adalah kali ketiga DAP tidak menendahkan Wan Azizah - DAP juga turut mengenepikan cadangan Wan Azizah berhubung pembentukan kabinet bayangan dan menolak pelawaannya untuk menjadi orang tengah dalam krisis dengan PAS.

Timbalannya, Azmin Ali turut berada dalam dilema. Apakah Azmin akan memilih untuk menaiki Roket atau akan berpaut kepada Bulan?

Sebagaimana menurut seorang pemerhati politik, keutamaan DAP sekarang ialah untuk memastikan monopolinya ke atas pengundi-pengundi Cina khususnya di kawasan perbandaran di pantai barat semenanjung terus kekal dan tidak terjejas.

“DAP berpendapat, dengan memutuskan hubungan dengan PAS, ia akan mengukuhkan kedudukannya di kalangan pengundi-pengundi Cina. Malah dengan berbuat demikian, mereka bersedia mengorbankan cita-cita untuk ke Putrajaya atau mengorbankan kerusi-kerusi campuran yang lain,” kata seorang pemerhati dalaman.

Cakap-cakap di Selangor kini ialah, DAP dan PKR, yang masing-masing mempunyai 15 dan 13 kerusi dewan masih mampu meraih sokongan sekurang-kurangnya 30 ahli dewan undangan negeri jika ini mengambil kira yang dua orang lagi wakil PAS – Saari Sungip (Hulu Langat) dan Hasnul Baharuddin (Morib) akan menyokong mereka atau berpaling tadah.

Ini akan meninggalkan PAS dengan hanya 13 kerusi sahaja. Umno (BN) mempunyai 12 kerusi manakala bekas menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim kini adalah wakil Bebas.

Maknanya, daripada sebuah kerajaan dengan dokongan majoriti dua pertiga mungkin akan berakhir dengan hanya majoriti lima kerusi sahaja - sekaligus mengambarkan betapa sebuah gabungan yang bersandarkan kepada perkahwinan untuk kesenangan telah gagal.

Namun, ini tidak juga bermakna yang Kerajaan Selangor yang ada sekarang akan musnah dengan serta merta tetapi pada masa yang sama ia tidak juga kelihatan tegap selepas dilanda gempa bumi politik.


Selangor, Pakatan Rakyat, DAP

Artikel Berikut

Artikel Lain