suria

Rakyat Sarawak Sokong Najib - Adenan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor memotong kek pada majlis makan malam sempena Gawai Dayak anjuran Sarawak Dayak National Union (SDNU) di Pusat Konvensyen Borneo malam Selasa. Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (dua,kiri). -fotoBERNAMA

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memberi jaminan bahawa kerajaan negeri dan rakyat negeri ini akan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Katanya sambutan yang diberi rakyat negeri ini kepada Najib semasa beberapa sesi lawatan beliau ke negeri ini membuktikan sokongan padu rakyat Sarawak terhadap kepimpinan beliau.

"Rakyat Sarawak tahu untuk berterima kasih dan menghargai sumbangan perdana menteri kepada negeri ini dan akan menyokong penuh beliau," katanya ketika berucap sebagai tetamu kehormat pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-59 Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (BCCK), di sini malam Selasa.

Justeru, beliau berharap Najib akan lebih kerap melakukan lawatan ke negeri ini dan membawa lebih banyak projek ke negeri ini bagi meningkatkan tahap pembangunan di negeri ini.

Katanya, Najib merupakan perdana menteri yang paling kerap melakukan lawatan ke negeri ini sehingga membolehkan beliau memahami keperluan negeri ini serta masalah dan keperluan rakyat, terutama di luar Bandar.

"Semua perdana menteri yang lepas ada membuat sesuatu untuk negeri ini tetapi perdana menteri sekarang (Najib) paling banyak dan saya berharap beliau dapat mengatasi rekod bapanya sendiri," katanya.

Katanya projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan pasti akan membuka lebih banyak kawasan untuk aktiviti perdagangan, perindustrian dan pertanian bagi meningkat sosio ekonomi rakyat.

Adenan berkata Sarawak juga mahu menikmati pembangunan seperti apa yang sudah dinikmati negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

"Kita cemburu melihat pembangunan yang dilaksanakan di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan kita juga mahu ia dilaksanakan di negeri kita (Sarawak)," katanya.

Beliau berkata masih belum terlambat untuk kerajaan persekutuan melaksanakannya di negeri ini.

Beliau juga meminta supaya kerajaan pusat memberi penekanan kepada proses pembangunan kawasan luar bandar dalam usaha untuk mengurangkan jurang kemiskinan antara penduduk bandar dan luar bandar.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain